Mahkamah kekalkan perintah larangan baju-T BERSIH
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengekalkan keputusan kerajaan untuk mengharamkan baju-T BERSIH dan bahan bercetak yang berkaitan.
Dalam keputusan hari ini, hakim Datuk Mohd Yazid Mustaf berkata perintah itu adalah mengikut bidang kuasa menteri.
BERSIH memohon untuk mencabar pengumuman pengharaman oleh kerajaan itu menjelang perhimpunan besar-besarannya pada 29 dan 30 Ogos lalu.
"Selepas menimbangkan hujah, saya mendapati bahawa perintah itu adalah mengikut bidang kuasa menteri.
"Menteri dalam jawapannya afidavitnya mempunyai justifikasi mengeluarkan perintah itu," kata hakim dalam transkrip penghakimannya.
Menurutnya, menteri mempunyai kuasa di bawah seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk mengunakan budi bicaranya untuk membuat perintah itu untuk mengharamkan bahan berkenaan jika beliau merasakan ia adalah memudaratkan atau mungkin menjejaskan ketenteraman awam.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dua hari sebelum perhimpunanitu telah mewartakan suatu perintah mengharamkan baju-T BERSIH.
Juga diharamkan di bawah perintah itu adalah apa-apa bahan yang dicetak dan risalah mempromosi perhimpunan BERSIH 4.
Di bawah Seksyen 8 akta itu, mereka yang memiliki bahan-bahan yang dilarang boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 jika sabit kesalahan, manakala mereka yang mengeluarkan atau menjualnya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

