Parti Rakyat Malaysia (PRM) membantah sekeras-kerasnya tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi mengeluarkan perintah tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas Mohd Ezam Mohd Nor, Hishamuddin Rais dan Saari Sungib.

Presiden PRM Dr Syed Husin Ali berkata, "Kami mendapat khabar bahawa ketiga-tiga aktivis politik dan reformis ini telah dibawa ke Kem Tahanan Kamunting kira-kira jam 2.30 petang semalam.

"Isteri dan keluarga mereka tidak diberi peluang menemui mereka sebelum dihantar ke Kamunting. Isteri dan keluarga mereka juga tidak mengetahui apakah tuduhan atau alasan-alasan tahanan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri."

Dakwa Syed Husin dalam kenyataannya, "Tuduhan-tuduhan Ketua Polis Negara terhadap mereka selepas mereka ditahan adalah keterlaluan, tidak masuk akal dan masih belum dibuktikan dalam mahkamah terbuka."

Beliau menyifatkan penahanan ketiga-tiga tokoh Parti Keadilan Nasional tersebut bertujuan politik, terutama untuk melemahkan Parti Keadilan serta gerakan reformasi.

"Kami menuntut supaya ketiga-tiga tokoh ini dan semua tahanan ISA lain dibebaskan segera tanpa apa-apa syarat."

Syed Husin turut melahirkan kebimbangan bahawa beberapa orang lagi mungkin akan diberi perintah tahanan yang sama.

"Pihak Kementerian hendaklah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk memberitahu umum siapa-siapakah yang ditahan, di mana mereka ditahan dan apakah tuduhan-tuduhan ke atas mereka," gesa beliau.

Ketua Pemuda Keadilan Ezam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Saari dan pengarah filem dan kolumnis bebas Hishamuddin telah ditahan polis selama 55 hari.

Biasanya perintah tahanan ISA yang ditandatangani oleh Menteri dikeluarkan selepas tahanan permulaan oleh polis selama sehingga 60 hari. Walaupun perintah tersebut adalah untuk dua tahun tanpa bicara, orang tahanan boleh dibebaskan lebih awal daripada jangkamasa tersebut ataupun mungkin dilanjutkan lagi tahanannya.