Pendakwah Datuk Mohd Kazim Elias yang dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kota Bharu malam tadi akibat penat dan sakit dada, dilaporkan stabil.

Pengawai khasnya Rafi Rahman berkata Mohd Kazim, 44, yang kini dirawat di wad Unit Penjagaan Koronari (CCU), sudah sedar dan boleh bercakap dengan jelas berbanding keadaannya malam tadi.

"Ustaz Kazim memerlukan banyak rehat kerana masih dalam keadaan keletihan," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, pihak HUSM mengesahkan Mohd Kazim dalam keadaan stabil dan sedang dipantau oleh pakar perubatan.

Mohd Kazim dimasukkan ke HUSM selepas mengadu penat ketika sedang berceramah di perkarangan bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gunong, Bator, Bachok, yang bertajuk 'Jihad Agro Makanan Negara' yang bermula 9.30 malam tadi.

Ketika itu, Mohd Kazim baru memulakan ceramah selama 10 minit sebelum meminta maaf di hadapan kira-kira 2,000 penonton selepas berasa tidak sihat.

Ceramah berkenaan anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) bersama Masjid Teratak Pulai, Bachok.

Timbalan Pengurus Besar Kada Nik Roslan Idris berkata semasa melawat Mohd Kazim pagi tadi, keadaan pendakwah itu semakin baik dan beliau dapat berbual dengannya.

- Bernama