Ahli PAS jangan terpengaruh agenda musuh: Fadzil
Presiden Parti Se-Islam Semalaysia (Pas) Datuk Fadzil Noor mengingatkan ahli PAS agar jangan terpengaruh dengan agenda musuh yang menurutnya mungkin mempunyai niat tidak baik.
Presiden Parti Se-Islam Semalaysia (Pas) Datuk Fadzil Noor mengingatkan ahli PAS agar jangan terpengaruh dengan agenda musuh yang menurutnya mungkin mempunyai niat tidak baik.
Menurut beliau, ahli PAS perlu lebih bersikap terbuka dalam menerima dan memperkatakan isu kemasukan golongan profesional dan peranan ulama dalam PAS.
Katanya, peranan ulama dalam parti perlu dikekalkan sebagai pembimbing sementara golongan profesional yang menyertai PAS pula boleh dianggap sebagai pemangkin yang menjana keteguhan parti itu.
"Jangan terpengaruh dengan musuh, sebab musuh mungkin mempunyai niat dengki bila melihat ramai golongan profesional masuk sertai parti (PAS) sekarang," kata Fadzil.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan presiden di Mutakmar Tahunan ke-47 PAS, pagi ini.
Sebelum itu, muktamar tersebut melihat beberapa wakil PAS negeri membahaskan mengenai peranan ulama dan kemasukan golongan profesional dalam parti.
Perwakilan PAS Kedah, Shahnon Ahamad menyuarakan bahawa parti tersebut perlu mengalakkan penyertaan golongan profesional tetapi tidaklah sehingga ia melupakan fungsi ulama.
Fadzil turut menekankan yang parti itu perlu bersikap lebih terbuka dan sedia memaafkan orang lain tanpa melupakan prinsip yang ada dalam parti.
"Kita perlu buat penyesuaian untuk memimpin pelbagai kaum. Kita perlu sedia memaafkan orang lain dan belajar menerima orang lain untuk membolehkan kita (PAS) berkembang dan jika kita ingin memerintah negeri lain selain Kelantan dan Terengganu yang kita ada sekarang.
"Tidak semua orang mempunyai tahap kesanggupan dan kemampuan yang sama, oleh itu kita perlu sedia menerima dan lebih terbuka bagi membolehkan kita (parti) diterima kaum lain," katanya.

