PAS curiga kerajaan tangguh bawa warga Bangladesh
PAS memandang curiga langkah kerajaan menangguhkan pengambilan pekerja dari Bangladesh selepas memorandum persefahaman (MoU) mengenainya selesai ditandatangani.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hari ini kerajaan boleh menuding jari menyalahkan majikan kononnya mereka berdolak-dalik dalam isu pengambilan buruh dari Bangladesh itu.
"Tapi, betulkah begitu kerana pelan perniagaan dan sumber manusia tidak akan berubah keputusan secepat para menteri BN," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim, rakyat mungkin perlu menunggu sehingga selepas pilihan raya Sarawak untuk memastikan langkah itu benar-benar diambil atau sebaliknya.
"Besar kemungkinan rakyat terpaksa tunggu sehingga pilihan raya negeri Sarawak selesai dahulu," katanya.
Pada pandangan Tuan Ibrahim langkah diumum kerajaan beberapa hari lalu mungkin cuma taktik sementara untuk menghalang perkara berkenaan menjadi isu utama dalam pilihan raya negeri.
"Ini kerana isu pengambilan warga asing secara besar-besaran ini adalah isu yang merentas kaum, agama dan politik dan ia pasti memberi kesan kepada BN di Sarawak.
"Isu ini akan meletakkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem - yang kuat berkempen untuk mengukuhkan rakyat tempatan - dalam keadaan tersepit sekiranya beliau menyokong pengambilan warga asing secara besar-besaran.
"Warganegara yang tertindas di negeri sendiri, terutamanya negeri Sarawak, sudah pasti akan terjejas dengan polisi kerajaan membawa sebegitu banyak warga asing ke dalam negara ketika hidup mereka terus dihimpit masalah kos hidup, mencari kerja dan suasana sosiopolitik berubah ekoran pertambahan warga asing mendadak sejak beberapa tahun lalu," katanya.
Bayangkan, kata Tuan Ibrahim, bagaimana perasaan rakyat tempatan apabila melihat sumber manusia dari luar mendapat kerja manakala orang Malaysia sendiri menganggur.
"Warga asing berniaga merata-rata manakala rakyat Malaysia terus hidup dengan gaji rendah.
"Tiba-tiba (ada warga asing) mendapat status bumiputera melalui perkahwinan dan mereka mendapat hak sama, malah ada yang lebih baik daripada warganegara sendiri," katanya.

