Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah melantik semula semua ahli mesyuarat kerajaan negeri (exco) di bawah pentadbiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Semua sembilan anggota exco itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit di Alor Setar, pagi tadi.

Mereka ialah, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, Datuk Suraya Yaacob, Datuk Tajul Urus Mat Zain, Datuk Badrul Hisham Hashim, Datuk Mohd Rawi Abd. Hamid dan Datuk Mohd Tajudin Abdullah.

Turut dilantik Datuk Aminuddin Omar, Datuk Noor Sabrina Mohd Noor dan Datuk Leong Yong Kong.

Sebelum ini timbul spekulasi bahawa Bashah akan menguggurkan beberapa ahli exco yang didakwa rapat dengan Mukhriz.

Mukhriz disingkirkan pada 3 Februari lalu selepas krisis dua minggu yang bermula apabila Bashah mengumumkan bahawa Umno Kedah tidak lagi menyokong anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Mukhriz mendakwa beliau menjadi mangsa kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak senang dengannya kerana lantang mengkritik 1MDB.