Otai Reformis: Dr M hanya mahu singkir Najib bukan tukar sistem
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hanya berminat menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bukannya melakukan pembaharuan, kata seorang aktivis veteran.
“Bagi kita reformasi Mahathir hanya dalam bentuk (singkir) Najib saja, bukan sistem.
“Kita nak tukar sistem kepada sistem pro-rakyat demokrasi tulen,” kata pengerusi Otai Reformis Saari Sungib kepada
Malaysiakini
.
Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim hari ini bahawa Mahathir mahukan perubahaan lebih daripada seorang reformis.
Kenyataan Saari itu disokong oleh rakan Otai Reformis, Ronnie Liu.
"Mahathir bekerja keras untuk jatuhkan Najib, tak syak lagi mengenainya. Tetapi agenda beliau adalah berbeza daripada reformasi.
"Mahathir mempunyai agenda peribadi," kata Liu ketika dihubungi.
Katanya, reformis juga mahu perubahan dalam kerajaan, manakala Mahathir berkeras mahu BN terus memerintah negara.
Sementara itu, seorang lagi Otai Reformis, S Jayathas memberitahu
Malaysiakini
bahawa gerakan reformis tercetus kerana ancaman Mahathir.
"Semua huru-hara hari ini adalah kerana apa yang Mahathir lakukan semasa beliau menjadi PM dan hari ini kita melihat beni-benih yang disemainya itu," kata Jayathas.
Tambahnya, jika Mahathir serius mahukan perubahan, beliau perlu berjuang bersama Pakatan Harapan.
Saari berkata Otai Reformis akan membincangkan minggu ini sama ada untuk menyertai perhimpunan anti-Najib yang dicetuskan oleh Zaid pada 27 Mac nanti.

