Seorang bekas juruwang memberitahu Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bahawa dia mencuri di tempat kerjanya kerana tidak berpuas hati terhadap majikan yang tidak menaikkan gaji dan memberikan komisen kepadanya.
"Saya tak berpuas hati dengan syarikat. Saya kerja dah lama tetapi dia kurangkan gaji, tak ada bagi komisen, tak ada naikkan gaji saya," kata Siti Harmoni Mohamed Noor, 25, ketika menjawab soalan Majistret Muhamad Faizal Ismail mengenai punca perbuatannya itu.
Beliau kemudian bertanya kepada tertuduh sama ada tindakannya itu berbaloi, namun ibu seorang anak itu hanya mendiamkan diri.
"Awak tak puas hati dengan majikan, awak buat macam ini. Awak makin senang ke susah sekarang ini. Fikir dahulu sebelum buat...ingat, jangan buat sampai bila-bila," katanya.
Beliau kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM300 terhadap Siti Harmoni yang mengaku bersalah mencuri kasut kanak-kanak dan pakaian yang kesemuanya bernilai RM264 di sebuah kedai pakaian di Tingkat 1, Mid Valley di sini pada 7 petang, 18 Februari lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga hari jika gagal membayar denda itu.
Berdasarkan fakta kes, rakan sekerja tertuduh telah melihat tertuduh mengambil kasut dan pakaian dan meletakkannya di bawah kaunter juruwang sebelum seorang individu lain datang mengambil barangan itu dan keluar tanpa membuat bayaran.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar.
- Bernama
