Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mengingatkan umat Islam di negara ini yang ingin mengerjakan umrah supaya tidak mempercayai pakej menawarkan harga kurang daripada RM4,900 untuk perjalanan 12 hari 10 malam.

Ia kerana, katanya, berkemungkinan agen yang membuat tawaran itu menipu pengguna memandangkan jumlah tersebut tidak boleh menampang keseluruhan kos menunaikan umrah.

“Kalau pakej yang ditawarkan kurang dari RM4,900 untuk 12 hari, sepuluh malam memang comfirm menipu,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Sidang Meja Bulat Imam Kebangsaan di Putrajaya hari ini.

Kata Nazri lagi, terdapat golongan yang tidak berkemampuan untuk menunaikan umrah sanggup menggadai tanah mereka di kampung namun akhirnya ditipu oleh agen.

“Yang jadi mangsa golongan kurang berada. Ada yang hingga menjual tanah sebab nak buat umrah. Dia nak pergi Mekah sebelum mati, tapi itu pun kena tipu,” katanya.

Katanya, terdapat agen di Kedah yang telah ditarik semula lesen perniagaan mereka kerana menipu umat Islam yang ingin mengerjakan Umrah.

"Saya kesal kerana ada di kalangan orang Islam sanggup menipu.

“Mereka menguar-uarkan pakej umrah murah kepada orang yang kurang berkemampuan tapi dalam masa yang sama dia tahu dia tak mampu bawa jemaah,” katanya.

Nazri yang kesal dengan sikap pihak yang tidak bertanggungjawab itu menggesa supaya umat Islam di negara ini untuk melayari laman sesawang www.motac.gov.my bagi menyemak status syarikat-syarikat berlesen supaya mereka tidak ditipu.