Lelaki dipenjara, denda kerana tumbuk bekas isteri
Tindakan seorang lelaki menumbuk mata kanan bekas isteri membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman itu ke atas Ahmad Faizal Azman, 30, yang bekerja sendiri, selepas dia mengaku bersalah mencederakan Ku Norzainun Imam Asmawi, 30, dengan menumbuk bahagian mata kanan wanita itu sebanyak dua kali.
Kejadian berlaku di kawasan parkir di hadapan lif 2-02 Apartment Sentul, Jalan 1/48B Sentul Pasar di sini pada jam 9.40 malam 20 Februari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah memerintahkan Ahmad Faizal menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 21 Februari lalu dan dipenjara tiga bulan jika beliau gagal membayar denda.
Berdasarkan fakta kes, mangsa telah pergi menemui bekas suaminya di tempat kejadian untuk mengambil anak perempuan mereka yang telah keluar bersama tertuduh sejak pagi.
Ketika berjumpa mangsa telah bertanya kepada anaknya adakah tertuduh memukulnya ketika keluar bersama, namun anaknya mengatakan tidak.
Berang dengan soalan mangsa yang mengsyaki tertuduh memukul anak sendiri menyebabkan tertuduh menumbuk mata mangsa sehingga lebam.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira perbuatan tertuduh berbentuk keganasan dan ia dilakukan terhadap seorang wanita.
- Bernama

