AI: K'jaan perhebat tekanan ke atas hak asasi
Tindakan keras ke atas kebebasan hak asasi manusia di Malaysia diperhebatkan tahun lalu, kata Amnesty International (AI) dalam laporan tahunannya yang dikeluarkan hari ini.
"Tindakan keras ke atas kebebasan bersuara dan hak-hak sivil serta politik lain telah diperhebatkan," kata laporan itu.
Antara perkembangan yang ketara pada tahun lalu, kata AI adalah penahanan ketua pembangkang, ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat bermotifkan politik serta tindakan kerajaan yang meluluskan rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang memberi kuasa luas kepada perdana menteri.
Laporan itu juga menyebut bahawa Akta Hasutan dipinda pada bulan April yang menyaksikan "hakisan pada kebebasan bersuara".
"Skop kesalahan dipinda untuk merangkupi media elektronik, termasuk mengenakan hukuman lebih berat seperti penjara mandatori dan tempoh yang lebih lama.
"Ia digunakan untuk menutup mulut pengkritik kerajaan. Sekurang-kurangnya 15 orang didakwa mengikut akta itu, termasuk kartunis politik Zulkiflee Anwar Haque (yang dikenali sebagai Zunar).
"Semua kes masih dibicarakan pada akhir 2015," kata AI.

