Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Ahli Parlimen Batu Tian Chua untuk membela diri berhubung ucapannya yang dibuat seminggu selepas pilihan raya umum lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Abdul Rashid Daud berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Chua mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan.

Katanya, apa yang diperkatakan oleh Chua pada ucapannya pada tahun 2013 mempunyai kecenderungan menghasut.

Chua sehubungan itu dijangka memberi keterangan bersumpah daripada kandang saksi.

Perbicaraan bersambung pada 25 April dan 26 April.

Chua, bersama-sama dengan aktivis Hishamuddin Rais dan Adam Adli Abdul Halim, didakwa mengikut Akta Hasutan berhubung ucapan mereka di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei 2013.

Ketika ditemui pemberita, peguam Chua, New Sin Yew berkata apa yang diluahkan oleh anak guamnya itu "bukannya hasutan" tetapi sebenarnya membabitkan "kepentingan awam".

"Tiada apa yang menghasut ataupun biadap.

"Apa yang Chua kata - 'turun ke jalan raya, bangkit lawan rasuah' - ini kata-kata yang sangat umum dan kata-kata yang tidak mempunyai sebarang maksud khusus," katanya.

New berkata pentafsiran kata-kata itu sebagai hasutan akan mewujudkan satu duluan atau ‘precedent’ yang amat berbahaya.

[Baca berita penuh]