Annuar: Penarafan Fitch bukti Najib mampu kendali ekonomi
Pengesahan penarafan Fitch Ratings terhadap Malaysia semalam merupakan bukti jelas keyakinan masyarakat antarabangsa ke atas asas ekonomi dan kedudukan kewangan negara, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata penarafan yang baik oleh agensi penarafan antarabangsa itu turut mengiktiraf dasar dan kemampuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengendalikan ekonomi negara.
"Tidak sampai pun sebulan pengubahsuaian Bajet 2016 diumumkan oleh Najib, tindakan itu telah diakui betul oleh Fitch, sekaligus menggambarkan pandangan jauh beliau menguruskan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Fitch Ratings mengesahkan Penarafan Kemungkaran Penerbit (IDR) mata wang asing dan tempatan jangka panjang Malaysia masing-masing 'A-' dan 'A' dengan unjuran stabil.
Pada 28 Januari, Najib mengumumkan 11 langkah penstrukturan dan pengubahsuaian Bajet 2016 demi memastikan ekonomi dan kewangan negara kekal berada pada jajaran yang betul.
Kerajaan akan meneruskan langkah perbelanjaan berhemat dengan mengutamakan program dan projek yang berimpak tinggi kerana situasi ekonomi global dan penurunan harga minyak mentah yang memberi kesan kepada hasil negara.
Sementara itu, menurut pengurus dana, pengesahan unjuran stabil kepada Malaysia oleh Fitch Ratings adalah bukti agensi penarafan global mengiktiraf pembaharuan fiskal yang dilaksanakan kerajaan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors Bhd, Ismitz Matthew De Alwis berkata penarafan berkenaan mengesahkan kesemua pendekatan, seperti pengubahsuian Bajet 2016, tidaklah begitu teruk.
"Pengesahan Fitch Ratings adalah sesuatu yang baik kerana ia mengesahkan bahawa ekonomi Malaysia berada di landasan yang tepat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran penyelesaian pelaburan persaraan baru, 'CareTRUST', di ibungara hari ini.
Beliau berkata pada tahun lepas, pihaknya mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia adalah 4.9 peratus sebaliknya negara menutup tahun 2015 dengan keputusan pertumbuhan lima peratus, dan ia satu pencapaian yang besar.
"Selepas itu, baru-baru ini Kumpulan Simpanan Wang Pekerja mengumumkan dividen 6.4 peratus bagi 2015, juga merupakan satu pencapaian yang cemerlang.
"Semua laporan ini memberi banyak perkara baik kepada kami. Sebagai pengurus dana, kami amat mengalu-alukan berita baik," katanya.
Mengenai prestasi Bursa Malaysia, De Alwis berkata terdapat kecenderungan untuk sejumlah peluang pelaburan apabila pasaran membuat pembetulan.
"Pasti terdapat nilai dalam perkembangan ini. Kami menjangkakan pasaran akan meningkat pada separuh kedua tahun ini," katanya, dengan menambah terdapat petunjuk bahawa ringgit semakin mengukuh.
"Penarafan Fitch amat membantu.
"Bagaimanapun, kenaikan mendadak bukan sesuatu yang baik memandangkan beberapa sektor eksport mendapat manfaat daripada kadar yang lemah. Justeru itu, negara kini berada di fasa yang lebih baik, secara perlahan-lahan dan ringgit pasti akan mencapai nilai saksama," katanya, dengan menambah, paras antara 3.90 dan 4.1 (berbanding dolar Amerika Syarikat) merupakan julat yang baik.
Semalam, Fitch Ratings mengesahkan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing dan tempatan jangka panjang Malaysia masing-masing 'A-' dan 'A' dengan unjuran stabil.
Unjuran stabil tersebut menunjukkan penilaian Fitch bahawa risiko ke bawah dan ke atas kepada penarafan itu adalah seimbang.
- Bernama

