Harga saham menerima tekanan daripada kejatuhan pendapatan korporat yang diumum sejak awal minggu lepas.
Syarikat-syarikat utama yang mengeluarkan keputusan kewangan bagi suku dan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 sejak Isnin termasuk Sime Darby Bhd, Telekom Malaysia Bhd, UMW Oil and Gas Bhd, Petronas Chemicals Bhd, Petronas Gas Bhd, Genting Bhd, MMC Corp Bhd, Nestle (M) Bhd, MSM Malaysia Holdings Bhd, Pos Malaysia Bhd dan Tan Chong Motors Holdings.
Esok, institusi kewangan CIMB Group Holdings, Maybank Group dan RHB Bank Bhd serta IHH Healthcare Bhd akan mengumumkan prestasi mereka bagi tempoh berkenaan.
Pada jam 12.30 tengah hari, saham Sime Darby Bhd jatuh 23 sen pada RM7.73, Telekom Malaysia susut satu sen kepada RM6.65, Pos Malaysia turun enam sen kepada RM2.32, UMW Oil & Gas rugi 5.5 sen kepada 99.5 sen, Gas Malaysia berkurang enam sen kepada RM2.41 dan Tan Chong Motors luak dua sen kepada RM2.39 selepas masing-masing melaporkan untung pracukai lebih rendah.
Penanda aras pasaran FBM KLCI pada 1,667.73 mata, jatuh 9.55 mata atau 0.57 peratus berbanding 1,672.22 mata semalam.
- Bernama
