Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa tidak ada unsur berat sebelah berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan TV3, atau Sistem Televisyen (M) Bhd, untuk membayar ganti rugi kepada bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin kerana kesalahan fitnah.

Hakim Besar Malaya Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mengetuai panel lima hakim sebulat suara mengetepikan rayuan TV3 berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati bahawa laporan mereka dalam 'Buletin Utama' terhadap Nizar adalah fitnah.

"TV3 gagal melepasi ujian sebenar bagi berat sebelah," katanya sambil mengekalkan penghakiman sebelum ini dan mengarahkan stesen swasta itu untuk membayar Nizar RM20,000 sebagai kos.

Hakim-hakim lain pada panel hari ini adalah Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Ramly Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Datuk Aziah Ali.

Nizar diwakili oleh peguam Asmuni Awi dan Fitri Asmuni manakala TV3 pula diwakili oleh Liew Teck Huat dan Lim Qi Si.

Nizar menyaman TV3 kerana dakwaan fitnah berhubung laporannya mengenai tweet nombor pendaftaran kenderaan WWW1 yang telah berjaya dibida oleh Sultan Johor. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan peguam Liew yang mewakili TV3 berhujah bahawa keputusan sebulat suara oleh panel Mahkamah Rayuan yang ketika itu dipengerusikan oleh Hakim Mohamad Ariff Md Yusof (sekarang sudah bersara) yang memutuskan TV3 bertanggungjawab memfitnah Mohammad Nizar, harus diketepikan atas alasan bahawa terdapat unsur berat sebelah kerana hubungan hakim (Mohamad Ariff) sebelumnya dengan PAS.

Beliau berkata TV3 tidak mempersoalkan kewibawaan dan kemampuan Mohamad Ariff sebagai hakim tetapi atas kedudukannya sebagai pengerusi panel Mahkamah Rayuan yang mendengar kes itu disebabkan hubungannya dengan parti politik tersebut.

Liew memohon Mahkamah Persekutuan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Rayuan untuk rayuan TV3 didengar semula oleh panel lain.

Dalam keputusannya, Hakim Zulkefli berkata TV3 gagal melangkaui "threshold" sama ada terdapat bahaya mengenai unsur berat sebelah bagi pihak Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Persekutuan yang juga disidangi oleh Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Abu Samah Nordin, Datuk Ramly Ali dan hakim Mahkamah Rayuan Datuk Aziah Ali menjawab persoalan perundangan itu secara negatif.

Persoalannya ialah sama ada terdapat unsur berat sebelah oleh Mahkamah Rayuan berhubung dengan hubungan sebelumnya antara pengerusi kuorum dan Mohammad Nizar.

Hakim Zulkefli berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan TV3 dan bahawa keputusan panel Mahkamah Rayuan dikekalkan.

Bagaimanapun, rayuan TV3 belum selesai kerana dua lagi persoalan undang-undang belum didengar oleh Mahkamah Persekutuan dan ia akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada tarikh yang belum ditetapkan.

Mohammad Nizar menyaman TV3 dan penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah mendakwa stesen televisyen telah menyiarkan kenyataan berbaur fitnah menerusi siaran berita Buletin Utama pada 30 Mei 2012 berhubung tweetnya.

Mahkamah Tinggi pada 12 April 2013 menolak saman fitnah Nizar dan beliau kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan memihak kepadanya pada 25 Februari 2014 dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk penaksiran ganti rugi.

Terdahulu, peguam Asmuni Awi yang mewakili Mohammad Nizar berhujah bahawa hakikat bahawa Mohamad Ariff dan Mohammad Nizar menganggotai parti yang sama tidak menimbulkan bahaya sebenar berat sebelah.

Beliau berkata permohonan Mohamad Ariff untuk melepaskan keanggotaannya dalam PAS diluluskan oleh jawatankuasa pusat parti itu pada 12 Oktober 2008 sementara Mohamad Ariff dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2009.

Turut mewakili Mohammad Nizar ialah peguam Mohd Fitri Asmuni dan Hasanuddin Yusoff.