Menteri: Kontrak profesor adalah autonomi universiti
Kementerian Pengajian Tinggi tidak seharusnya dipersalahkan dalam isu 156 profesor di universiti awam yang tidak diperbaharui kontrak perkhidmatan mereka akibat pemotongan bajet, baru-baru ini, kata menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh.
Menurutnya, ini kerana setiap universiti mempunyai kuasa autonomi dalam melantik mana-mana profesor yang telah berstatus persaraan wajib.
“Ini apa yang saya katakan bergantung kepada universiti. Universiti mengetahui siapa yang patut mereka sambung, baik dalam pengajaran atau kajian,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, Jurucakap Parlimen DAP untuk Pendidikan, Sains dan Teknologi, Zairil Khir Johari mendakwa, pemberhentian 156 profesor itu membuktikan campur tangan kuasa eksekutif dalam pentadbiran akademik universiti.
Mengulas lanjut, Idris juga percaya bahawa pihak universiti mempunyai asas-asas yang kukuh untuk tidak menyambung perkhidmatan profesor yang sudah mencapai umur 60 tahun.
“Jika merasakan perlu oleh universiti untuk sambung perkhidmatan, mereka akan sambung. Universiti akan lihat apakah trek rekod dalam pengajaran, penerbitan mereka,” katanya.
Idris juga turut menyatakan bahawa perkara tersebut bukanlah suatu isu yang baru kerana sudah termaktub dalam pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini.
“Ini adalah peraturan JPA yang mana apabila penjawat awam kita dah capai umur 60 tahun, ja merupakan persaraan wajib. Dan, apabila mencapai umur 60 tahun, mereka boleh dilantik melalui kontrak,” katanya.
Bagaimanapun, Idris berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Profesor Negara (MPN) pada Isnin hadapan bagi membincangkan isu ini.

