'Ada tak kena dengan liputan media ke atas Umno'
Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee hari ini membidas media sosial dengan mendakwa bagaikan ada yang tidak kena dengan laporan kritikal mereka terhadap parti itu.
Katanya, media itu menjadikan Umno sebagai sasaran berhubung dakwaan berlaku krisis kepimpinan sedangkan parti-parti pembangkang juga berdepan dengan konflik dan perbalahan yang berpanjangan sesama mereka.
"Mengapa media terutama laman sosial hanya memberi fokus kepada Umno yang didakwa berada dalam konflik, sedangkan pembangkang lagi teruk, sudah berebut kerusi pilihan raya sesama sendiri," katanya dalam tulisan di blog.
Pemimpin akar umbi itu berkata beliau percaya pihak tertentu mempunyai agenda untuk merosakkan perpaduan dalam Umno.
"Pihak tertentu terutama pembangkang dan golongan anti-kerajaan sememangnya mahu meruntuhkan kestabilan politik dan ekonomi negara dan mereka menjadikan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai sasaran," katanya.
Syed Ali juga menafikan bahawa Umno sedang menghadapi krisis kepimpinan yang serius.
Beliau berkata semua parti-parti politik, termasuk pembangkang, tidak akan terlepas daripada sebarang ketidakpuashatian dan begitu mustahil untuk memuaskan hati semua pihak.
"Adalah satu pembohongan untuk mengatakan mana-mana parti politik tidak berdepan dengan masalah, tetapi cara bagaimana masalah itu diselesaikan perlu diberikan perhatian," katanya.
Menyifatkan permasalahan dalaman parti sebagai perkara biasa, beliau berkata pembangkang juga sedang berdepan dengan konflik dan perbalahan yang berpanjangan sesama mereka.
Umno menjadi tumpuan laporan media selepas Najib yang juga adalah presiden parti menyingkirkan pengkritiknya daripada kerajaan dan juga parti.
Tetapi di sebalik tindakan itu, lebih ramai terutamanya, pemimpin akar umbi dan veteran yang tampil membidas Najib berhubung isu 1MDB dan ‘derma’ RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi perdana menteri.

