Malaysiakini BERITA

Teruskan, saya sedia ke penjara, kata Mahathir

Kow Gah Chie  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan menyatakan kebenaran apabila dirinya diheret ke mahkamah kerana mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan kredibilti peguam negara yang didakwa melindungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian selepas disoal-siasat oleh polis berhubung tulisannya di blog mengenai kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang membersihkan Najib daripada sebarang sala laku dalam 1MDB dan juga derma RM2.6 bilion.

"Pihak polis tanya mengenai artikel peguam negara yang saya tulis, tetapi saya tidak jawab soalan spesifik berkenaan...

"Kerana saya nak jawab di mahkamah masa perbicaraan (selepas didakwa). Saya harap dapat jawab apabila ada perbicaraan di mahkamah nanti," kata Mahathir.

Menurutnya, beliau juga bersedia ke penjara kerana tulisannya itu.

"Jika kita hulurkan kepala, kita akan kena pancung. Jika hidup saya akan berakhir dalam penjara, okay, sahaja," katanya.

Ditanya sama ada beliau menjangkakan akan bersama Ketua Umum PKR Datuk Serin Anwar di penjara Sungai Buloh, Mahathir secara berseloroh berkata tidak mustahil mereka akan berkongsi sel yang sama.

Mahathir juga memberitahu wartawan pada sidang media di di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya itu bahawa beliau turut membangkitkan mengapa hanya keterangannya yang dirakamkan tetapi tidak orang lain.

"Saya juga nyatakan mengapa saya sahaja disoal oleh polis sedangkan banyak orang lain yang bercakap perkara sama dan buat tanggapan sama tetapi tak disoal.

"Adakah ada diskriminasi pada pihak mahkamah atau peguam negara untuk buat tuduhan kepada saya, dan tidak kepada orang lain, yang buat kenyataan sama," soalnya.

Dr Mahathir turut mengulangi gesaan kepada Apandi supaya bersumpah dengan Al-Quran bagi menegakkan kebenaran.

"Beliau (Apandi) perlu angkat sumpah dengan Al Quran.

"Dia tidak boleh bohong kepada Tuhan, kalau tipu dia akan masuk neraka," katanya.

Pagi tadi, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan merakamkan percakapan Dr Mahathir berikutan kenyataannya di laman blog yang mempersoalkan kredibiliti Apandi.

Katanya, polis terpaksa menjalankan siasatan berikutan terdapat laporan polis yang diterima dan siasatan adalah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan berkaitan fitnah.

Ini adalah kali kedua bekas perdana menteri itu disoal siasat polis.

Pada 6 November tahun lalu, Dr Mahathir disiasat mengikut seksyen yang sama atas dakwaan berhubung kenyataannya semasa menghadiri perhimpunan BERSIH 4 pada Ogos 2015.

[Baca berita penuh]