Khazanah Nasional Bhd menerbitkan sukuk dalam denominasi dolar Amerika bagi lima tahun bernilai US$750 juta (kira-kira RM3.15 bilion) untuk membiayai semula nota jaminan Penerbangan Malaysia Bhd pada kos lebih rendah.

Sukuk dolar AS itu ditetapkan pada kadar keuntungan 3.035 peratus berikutan proses penetapan harga yang cepat, menarik permintaan daripada institusi kewangan, syarikat pengurusan aset, badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat insurans.

Meskipun keadaan pasaran yang mencabar, Khazanah mencapai saiz terbitan sasarannya pada 178 mata asas mengatasi lima tahun Perbendaharaan AS, katanya dalam satu kenyataan.

Sukuk ini akan dilaksanakan melalui firma tujuan khas yang diperbadankan di Malaysia, Danga Capital Bhd.

"Hasil Sukuk USD itu akan digunakan untuk membiayai semula nota jaminan US$1 bilion Penerbangan Malaysia Bhd yang matang tahun ini," katanya.

Dengan mengambil kesempatan hasil Perbendaharaan AS yang rendah, Khazanah mampu untuk membiayai semula nota berkenaan yang telah dijamin oleh kerajaan pada penjimatan sebanyak 2.590 peratus setahun berbanding kupon semasa 5.625 peratus di samping mengurangkan liabiliti luar jangka kerajaan Malaysia.

"Terbitan Sukuk USD ini menunjukkan keupayaan Khazanah mengakses pasaran modal hutang dan mencapai julat yang kompetitif dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu.

"Terbitan ini merupakan satu lagi pencapaian penting bagi Khazanah, yang telah secara konsisten menyempurnakan transaksi inovatif dan berjaya," kata Ketua Pegawai Kewangannya Datuk Mohd Izani Ghani.

Sukuk USD itu, yang distrukturkan di bawah prinsip Syariah Wakalah 1 menggunakan saham patuh Syariah dan komoditi patuh Syariah, akan disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Bhd (di bawah rejim berkecuali), Labuan International Financial Exchange Inc dan Singapore Exchange Securities Trading Ltd.

- Bernama