PAS bantah MCA ambil alih akhbar cina
Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mengeluarkan usul untuk menyokong badan-badan bukan kerajaan (NGO), Dewan Perniagaan Cina Selangor dan Gabungan Rayuan Pilihanraya (Suqiu) yang bersikap menentang pengambilan alih Nanyang Press Holdings oleh parti Barisan Nasional MCA.
Menurut Presiden PAS Datuk Fadzil Noor, usul yang diketengahkan di dalam muktamar PAS kali ke-47 ini perlu dibuat kerana penguasaan MCA terhadap dua terbitan Nanyang Press, iaitu Nanyang Siang Pau dan China Press , akan mematikan kebebasan akhbar yang diamalkan.
"Ia merupakan satu pencabulan ke atas kebebasan akhbar, dan kita mengeluarkan satu usul membantah tindakan MCA cuba mengambil alih akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press ," kata Fadzil
Menurut beliau, walaupun ada berita yang disiarkan oleh akhbar tersebut sebelum ini ada yang pernah mengkritik parti itu tetapi parti itu bersikap terbuka dan memandang perkara itu dari segi kemanusiaan.
"Walaupun kita tidak faham atau tidak tahu bahasa yang digunakan dalam akhbar itu, ia bukanlah satu halangan untuk kita membantah tindakan yang kita anggap tidak sepatutnya dilakukan," katanya.
Pengambilan alih kedua-dua akhbar itu juga menurut Fadzil menunjukkan Barisan Nasional mempunyai muslihat dan agenda politik mengawal berita yang disiarkan oleh akhbar di negara ini.
Usul tersebut juga menyarankan boikot akhbar yang dimiliki oleh parti MCA melalui syarikat pelaburannya Huaren Holdings, yang juga termasuk suratkhabar The Star .

