Dakwaan biayai kempen PRU-13 BN: MAICCI sedia disiasat
Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) berjanji memberi kerjasama penuh bagi sebarang siasatan berhubung dakwaan bahawa ia menyalurkan semula geran RM2 juta yang diterima bagi membiayai kempen pilihan raya umum ke-13 BN.
Menurut Setiausaha Agung MAICCI, Datuk AT Kumarajah, pertubuhan berusia 65 tahun itu tidak 'mempunyai apa-apa untuk disembunyikan'.
"Kita tidak mahu integriti kita dipersoalkan. Jika ada soalan yang perlu dijawab, kita sedia untuk jawab mereka dalam forum yang betul.
"Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa. Kita tidak mempunyai apa-apa yang hendak disembunyikan," kata Kumarajah ketika dihubungi Malaysiakini , semalam.
Kumarajah mengulas dakwaan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, yang berkata laporan polis akan dibuat hari ini terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Presiden MAICCI, Tan Sri Kenneth Eswaran dan bekas setiausaha agung pertubuhan itu, M Davendra atas tuduhan pecah amanah.
Pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR semalam, Rafizi mendedahkan beberapa baucar bayaran yang didakwanya mengandungi maklumat terperinci bagaimana BN mendapat manfaat daripada RM2 juta wang pembayar cukai untuk membiayai kempen pilihan raya umum ke-13.
Antara lain, Rafizi mendakwa, bayaran berkenaan telah dibuat oleh persatuan itu untuk pelbagai acara BN yang berlangsung antara 29 Mac 2013, dan 29 Mei 2013.
Pilihan raya umum ke-13 diadakan pada 5 Mei, 2013.

