NGO: Pencuci longkang saja tak mampu lonjak gaji minimum
Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) mempersoalkan sama ada tindakan satu orang melakukan pekerjaan mencuci longkang , sudah mencukupi untuk melonjakkan isu gaji minimum dan hak pekerja di negara ini.
Bagi Penyelaras kebangsaan JERIT mengenai isu pekerja, M Sivaranjani berkata ia tidak mencukupi bagi satu orang untuk mencabar isu ini.
"Kita memerlukan satu gerakan dan satu pelan tindakan untuk membawa isu ini ke seluruh negara," hujahnya.
Azrolnizam Sidek, yang memiliki diploma dalam pengurusan perniagaan, telah menyahut cabaran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada para belia supaya melakukan "pekerjaan kotor", dengan bekerja sebagai pencuci longkang di sebuah kilang simen di Negeri Sembilan.
"Saya tidak pasti berapa lama dia (Azrolnizam) boleh kekal dengan pekerjaan tersebut. Mungkin sebagai satu aksi, untuk tempoh yang singkat, Tetapi berapa lama orang akan ingat?" kata Sivaranjani kepada Malaysiakini.
Katanya, hanya apabila isu itu menarik minat khalayak yang lebih luas di seluruh negara, baru kerajaan akan mendengar suara rakyat.
The Azrolnizam, 24, telah mencabar menteri dalam negeri itu untuk menaikkan gaji untuk mereka yang melakukan pekerjaan 3D (kotor, sukar dan berbahaya).
Beliau juga dilaporkan berkata bahawa gaji RM800 sebulan yang diperolehinya, tidak cukup untuk meneruskan kehidupan di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup.
Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak telah mengumumkan gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,000 sebulan, ia hanya akan berkuatkuasa pada pertengahan tahun ini, yang bermakna buat masa ini, gaji minimum masih lagi RM900 sebulan.
Mengulas mengenai Azrolnizam yang berpendapatan hanya RM800 sebulan, Sivaranjani berkata JERIT "tidak bersetuju sama sekali" dengan jumlah gaji tersebut.
"Apa yang dia dapat adalah tidak betul dan tidak berbaloi dengan pekerjaan yang dilakukannya," katanya.
Kerajaan telah terbabit dalam kontroversi berhubung pekerjaan dan upah ekoran rancangannya untuk membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh.
Mempertahankan langkah untuk membawa masuk pekerja Bangladesh, Zahid telah mencabar belia untuk melakukan pekerjaan 3D.
Namun, sehari selepas kerajaan Malaysia dan Bangladesh menandatangani perjanjian buruh, pengambilan pekerja asing telah dibekukan untuk sementara, menunggu kajian oleh Putrajaya.

