Suhakam gesa kerajaan supaya kotai janji-janjinya
Suhakam hari ini melancarkan laporan yang mengandungi perakuan dan gesaan supaya digubal undang-undang dan sistem yang khusus untuk menanggani masalah pelanggaran hak asasi manusia terhadap kanak-kanak dan wanita yang menjadi mangsa penyeludupan manusia.
Suhakam hari ini melancarkan laporan yang mengandungi perakuan dan gesaan supaya digubal undang-undang dan sistem yang khusus untuk menanggani masalah pelanggaran hak asasi manusia terhadap kanak-kanak dan wanita yang menjadi mangsa penyeludupan manusia.
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman berkata wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah tersebut yang berakhir di lembah pelacuran dan kegiatan maksiat lain tidak seharusnya menjadi mangsa lagi kepada sistem dan agensi penguatkuasaan.
"Adalah tidak adil menghantar mereka ke penjara, walaupun untuk menjadi saksi terhadap orang yang didakwa menyeludup mereka. Ianya pelanggaran hak asasi manusia apabila seseorang itu ditahan untuk tujuan menegakkan keadilan, tetapi dilayan seperti penjenayah," katanya dalam sidang akhbar di ibupejabat Suhakam di Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, ini berlaku kerana terdapat kelemahan dalam sistem perundangan dan tiada wujudnya undang-undang khusus untuk menghukum mereka yang terbabit dalam jenayah tersebut.
"Proses pendakwaan juga perlahan...inilah masalahnya bila mahkamah tidak sensitif terhadap kesulitan dan beban yang dihadapi oleh mangsa," katanya.
Sejak bulan Januari 2003, Suhakam mengadakan penyelidikan, dialog dan bengkel berhubung kegiatan tersebut yang merupakan jenayah di negara-negara lain.
Abu Talib berkata, ianya berpunca daripada interpretasi yang tidak tepat oleh pegawai pendakwa dan juga pihak mahkamah, sehingga menyebabkan ramai mereka yang didakwa, terlepas daripada hukuman.
"Mereka dibebaskan atas sebab-sebab teknikal," jelasnya.
Oleh itu, beliau menggesa kerajaan supaya memberi ruang untuk pembuktian kesalahan mereka yang terbabit dan pihak-pihak lain, supaya tidak berlaku kesilapan mahkamah sehingga wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah itu, terus menerus menjadi mangsa.
Beliau berharap kerajaan menghormati hak asasi manusia dengan menggubal undang-undang anti-penyeludupan manusia, dan dikuatkuasakan tanpa sebarang rasa takut.
"Saya mendapat tahu tentang seorang mangsa yang ditahan di penjara untuk menjadi saksi selama lima tahun," tegasnya.
Mangsa sebenar
Menurutnya, mangsa-mangsa terbabit adalah tidak bersalah, berdasarkan kepada perjumpaan Suhakam dengan mereka, malah antaranya yang dikurung oleh majikan masing-masing.
Laporan itu juga turut mengandungi paparan kisah-kisah benar wanita-wanita yang dijanjikan kerja seperti pembantu rumah di negara ini, tetapi akhirnya dipaksa menjadi pelacur.
Laporan setelah 159 muka itu menyebut, ramai mangsa terbabit dalam kegiatan maksiat itu ditangkap dalam serbuan oleh pegawai penguatkuasa, manakala yang lainnya ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah selepas berjaya melepaskan diri daripada orang yang 'menawan' mereka.
Laporan itu juga menumpukan perhatian kepada sejumlah besar wanita asing yang berada dipenjara di negara ini. Ini termasuk mereka yang ditahan di Penjara Wanita Kajang - sebahagian besarnya bagi kesalahan pelacuran - yang mendakwa mereka perdaya datang ke Malaysia bagi mendapatkan pekerjaan, tetapi sebaliknya dipaksa menjadi pelacur.
"Daripada 58 wanita yang kami temubual, 23 daripadanya diperdaya atau diseludup masuk ke negara ini dan kemudiannya terbabit dalam pelacuran," kata Pesuruhjaya Suhakam, Dr Raj Abdul Karim.
Beliau juga menegaskan pentingnya diwujudkan satu sistem untuk mengenalpasti dan menyediakan perlindungan di penjara negara ini, bagi memastikan mereka tidak terus menerus menjadi mangsa penganiayaan oleh pegawai penguatkuasa ataupun pihak berkuasa penjara.
Salinan laporan Suhakam itu turut dihantar kepada kerajaan. Bagaimanapun, kebanyakan cadangan Suhakam jarang dilaksanakan oleh kerajaan sejak penubuhan suruhanjaya itu pada tahun 1999.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah berjanji untuk menanggani pelbagai isu yang membabitkan hak asasi manusia selepas mengambil alih pentadbiran negara pada bulan Oktober 2003, tetapi sehingga ini tidak banyak yang dilakukan ke arah itu.
Perdana Menteri juga telah menandatangani Deklarasi Asean Mencegah Penyeludupan Manusia terutamanya Wanita dan Kanak-kanak pada 29 November tahun lalu, sebagai mengesahkan deklarasi awal pada tahun 1998 bagi menanggani jenayah antara negara, termasuk penyeludupan wanita dan kanak-kanak.

