Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan rayuan pihak pendakwaan berhubung keputusan mengketepikan pertuduhan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) kerana mensabotaj institusi perbankan dan kewangan terhadap bekas pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang.

Ini berlaku selepas mahkamah membenarkan permohonan Khairuddin untuk melucutkan kelayakan Hakim Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh daripada mengetuai panel.

Peguam bagi bekas naib ketua Umno Batu Kawan itu, Mohd Haniff Khatri Abdulla, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memohon untuk perlucutan kelayakan itu kerana kakaknya mengenali Hakim Zawawi.

Hakim Zawawi juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau mengenali Khairuddin dan kakaknya.

"Demi kepentingan keadilan dan supaya orang ramai tidak mempunyai sebarang persepsi, saya setuju untuk tarik diri.

"Panel ini akan dilantik semula kemudian," kata hakim kanan itu.

Pengurusan kes berhubung perkara itu telah ditetapkan pada 7 Mac ini.

Dua lagi hakim dyang bersidang bersama hari ini adalah Hakim Tan Sri Idrus Harun dan Pesuruhjaya Kehakiman, Vernon Ong.

[Baca berita penuh]