Posmen simpan 21,655 surat dipenjara tiga bulan
Seorang bekas posmen hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah menyimpan 21,655 surat yang tidak dihantarnya ketika dia masih berkhidmat tahun lalu.
Seorang bekas posmen hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah menyimpan 21,655 surat yang tidak dihantarnya ketika dia masih berkhidmat tahun lalu.
Menurut Bernama, Muhammad Fakhrudin Ibrahim, 28, juga diperintah oleh Majistret Mohd Khairi Haron membayar denda RM1,000 atau menjalani hukuman penjara dua bulan.
Muhammad Fakhrudin yang ditahan pada 7 Disember tahun lalu, selepas berjaya mengelak daripada dijejaki pihak berkuasa selama enam bulan, mengaku bersalah menyimpan 21,650 surat biasa, empat surat berdaftar dan satu surat ekspres yang seharusnya dihantarnya.
Dia mengaku menyimpan surat-surat itu di rumahnya di Jalan Mini 3, Taman Beringin, Jinjang Utara, Sentul, pada 3 petang 26 Julai tahun lalu.
Fakhrudin didakwa mengikut Seksyen 30 Akta Perkhidmatan Pos 1991 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda tidak melebihi RM4,000 atau kedua-duanya sekali.
Tahanan reman
Dia dipecat daripada Pos Malaysia Berhad pada Mac 2003 setelah berkhidmat sejak 1996.
Dalam rayuannya, peguamnya Azizzul Shariman Mohd Yusoff, memberitahu mahkamah bahawa Fakhrudin yang masih bujang, perlu menanggung tiga adiknya berumur 23, 20 dan 15 tahun selepas ibu bapanya meninggal dunia sejak 2000 kerana sakit tua.
Katanya, tahanan reman hampir 50 hari sudah cukup untuk memberi pengajaran kepada Fakhrudin serta memadai sebagai balasan untuk kesalahan yang dilakukan.
"Anak guam saya, yang berpendidikan setakat Tingkatan Lima, merupakan pesalah pertama serta mempunyai masa depan cerah memandangkan usia mudanya. Saya memohon kepada mahkamah agar dia terkecuali dari hukuman penjara kerana tertuduh khuatir dia akan kehilangan pekerjaannya," katanya.
Ketika ditanya oleh Mohd Khairi sama ada majikan tertuduh akan mengambil dia bekerja semula dalam keadaan ini, Azizzul berkata: "Saya tidak pasti".

