Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mungkinkah pemakan dedak jadi gabenor baru Bank Negara?

ULASAN l Sebuah lagi institusi teras negara sedang dalam ujian. Siapa yang akan dilantik menggantikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank Negara akan menentukan sama ada ia terus menjadi institusi yang berwibawa dan dihormati atau menjadi sebuah lagi institusi pemakan dedak.

Logik konvensyen: negara didahulukan.

Mengikut landasan ini, pengganti Zeti haruslah sama kaliber dengan beliau atau berpotensi menjadi sehebat beliau. Lebih-lebih lagi sekarang apabila situasi ekonomi dan pengurusan mata wang (monetary management) negara memerlukan seorang gabenor yang berwibawa dan diyakini.

Maka pengganti Zeti wajarlah seorang ahli profesional yang pakar dalam bidang mata wang, ekonomi dan perakaunan. Seorang tidak dicemari oleh sebarang bentuk skandal atau konspirasi.

Atas landasan itu nama yang datang ke fikiran kita adalah Datuk Muhammad Ibrahim, Timbalan Gabenor. Walaupun berprofil rendah, dia dikatakan berintegriti dan dihormati.

Logik politik: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diutamakan.

Pengganti Zeti wajiblah seorang yang telah termakan dedak atau boleh disuapkan dedak. Ciri-ciri integriti, kewibawaan dan kemerdekaan minda bukan syarat.

Seelok-eloknya orang itu adalah dalam acuan yang sama seperti pelantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai peguam negara menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail – seorang profesional yang menganggotai Umno dan cergas dalam politik.

Apandi adalah peguam Umno, pemegang jawatan Umno Kelantan dan bekas calon pilihan raya BN.

Pelantikan Politik

Dalam kaitan inilah nama Datuk Awang Adek Hussin disebut-sebut sebagai calon pilihan. Bukan sahaja dia orang Kelantan macam Apandi tetapi dia juga cergas dalam politik Kelantan seperti Apandi.

Macam Apandi, dia pernah bertanding pilihan raya di Kelantan. Tapi tidak seperti Apandi, Awang Adek pernah menang dan jadi Timbalan Menteri.

Kalau Apandi pernah menjadi peguam Umno dan hakim, Awang Adek pernah menjadi Penolong Gabenor Bank Negara dan Ketua Pengarah pertama Pusat Perkhidmatan Kewangan Luar Pantai Labuan (Lofsa).

Dia menang kerusi Parlimen Bachok dalam Pilihan Raya Umum 2004 dan dilantik Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Pada tahun 2006 dia menjadi Timbalan Menteri Kewangan.

Dalam PRU 2008 dia bertanding Parlimen dan DUN tetapi kalah kedua-duanya. Kononnya kalau Umno/BN rampas Kelantan tahun itu, dia akan dilantik menteri besar.

Pada tahun 2009 dia dilantik senator dan diberikan semula jawatan Timbalan Menteri Kewangan. Dia dilantik duta ke Amerika Syarikat pada tahun 2014.

Kalau tidak kerana pembabitannya dalam politik atau sekiranya tidak ada skandal kewangan membabitkan perdana menteri, dia sesuai dipertimbangkan sebagai pengganti Zeti.

Namun seandainya dia dilantik juga menggantikan Zeti maka secara semula jadi dia akan membawa imej yang sama seperti Apandi iaitu melindungi Najib daripada tindakan undang-undang.

Adalah amat memeranjatkan (mind boggling) kalau Awang Adek yang dilantik oleh Najib tiba-tiba melawan tauke dengan meneruskan siasatan dan memberi kerjasama telus kepada agensi-agensi luar negara yang kini menyiasat 1MDB dan Najib.

Soalnya apakah Awang Adek bersedia atau akan mengorbankan segala idealisme dan kecendekiawanan yang diwarisinya daripada dua institusi ilmu terkemuka di Amerika iaitu Drew University dan University of Pennsylvania?

Awang Adek adalah antara teknokrat era Dasar Ekonomi Baru yang cemerlang setelah memperoleh ijazah matematik dan ekonomi, dan doktor falsafah dari Amerika Syarikat.

Dark Horse

Turut disebut-sebut adalah Tan Sri Ismee Ismail. Dia orang kepercayaan Najib yang kini menjadi Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji serta ahli lembaga pengarah 1MDB.

Tabung Haji turut terseret ke dalam kontroversi 1MDB kerana memberi pinjaman bilion ringgit kepada 1MDB dan membeli tanah TRX daripada 1MDB.

Gabungan jawatan dalam Tahung Haji dan 1MDB menjadikan Ismee kontroversial dan boleh membawa lumpur Tabung Haji dan 1MDB ke Bank Negara. Jadi dia bukanlah calon yang kuat atau sesuai.

Seorang lagi yang datang ke fikiran saya adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Pandangan saya dari dulu lagi menjurus kepada Abdul Wahid. Di kalangan calon luar dia adalah terbaik cuma dia menyerah kepada godaan dengan menyertai kabinet – sesuatu yang saya secara terang-terang beritahu beliau adalah kesilapan.

Namun berbanding Awang Adek dan Ismee, dia lebih layak dan dengan itu mungkin juga lebih mudah diterima oleh pasaran.

Tetapi kalau kerajaan mahu mengelakkan kontroversi dan menangkis tuduhan mempolitikkan jawatan gabenor maka calon semula jadi adalah Muhammad kerana dia orang dalam yang berpengalaman dan dihormati.

Wallahuaklam.


Datuk A Kadir Jasin adalah Tokoh Wartawan Negara dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times. Arikel ini pertama kali disiarkan menerusi blognya - The Scribe A Kadir Jasin .

Lihat Komen
ADS