NGO media kecam 'hadiah hari jadi' pada TMI
Kumpulan-kumpulan wartawan hari ini mengecam sekatan kerajaan terhadap portal berita The Malaysian Insider (TMI) semalam.
Gerakan Media Marah (GERAMM) dalam kenyataannya hari ini, sambil mengucapkan selamat ulang tahun ke-8 kepada TMI, berkata sekatan itu tidak jelas, tidak berasas dan tidak adil.
Malah, kata perkumpulan longgar wartawan dan aktivis itu, kerajaan sekali lagi menunjukkan yang ia akan menggunakan kuasa tanpa menimbangkan langkah lebih baik dan adil.
“Peruntukan undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menangani isu ini, tanpa perlu bertindak menyekat akses ke TMI,” kata mereka.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) semalam menyekat TMI kerana didakwa melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Seksyen 233 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Ia berkaitan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.
Suruhanjaya itu tidak menyatakan dengan jelas tulisan yang mendorong sekatan itu dibuat.
Bagaimanapun, polis akan menyiasat laporannya mengenai syor yang dikatakan dibuat Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi panel itu Hamid Bugo malam tadi menafikan pihaknya percaya terdapat bukti cukup untuk mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaunnya serta siasatan kes SRC International.
CIJ: Waspada penapisan kerajaan
Sementara itu, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) pula berkata orang ramai perlu berwaspada terhadap kemungkinan kerajaan mengenakan penapisan selepas sekatan semalam.
“Kami minta pengguna Internet berwaspada terhadap sekatan lanjut atas talian, kerana ia boleh memberi kesan terhadap capaian maklumat penting dan mungkin mendorong ke arah peningkatan kos untuk capaian maklumat dan teknologi,” katanya.
Badan itu juga menggesa orang awam mendesak kerajaan tidak memperkenal dasar baru atau menyemak undang-undang Internet sedia ada sehinggalah sekatan di tarik balik dan perundingan dibuat terlebih dahulu.

