Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengalu-alukan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung jawatannya sebagai timbalan presiden Umno, untuk bersama dengan 'gerakan Reformasi' bagi bekerjasama ke arah sebuah Malaysia yang lebih baik.

Dalam respons terhadap penggantungan Muhyiddin itu, Rafizi berkata Muhyiddin menekankan keperluan mengembalikan kebebasan dan integriti kepada institusi utama di negara ini.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak parti saya atau Pakatan Harapan. Saya tidak akan cuba bercakap bagi orang lain. Saya hanya boleh bercakap sebagai seorang aktivis reformasi yang telah bersama-sama dengan arus menuntut perubahan ini sejak 1998.

"Saya hulurkan persahabatan kepada sesiapa yang bersetuju dengan agenda reformasi," kata naib presiden PKR itu dalam satu kenyataan hari ini.

Keutamaan sekarang, tegas Rafizi ialah menjana kekuatan rakyat untuk menuntut reformasi yang menyeluruh dalam sistem sekarang yang menurutnya banyak "menindas".

"Saya alu-alukan Tan Sri Muhyiddin bersama-sama gerakan rakyat yang mahukan perubahan itu dan saya hulurkan persahabatan supaya semua pihak (tidak kira latar belakang) dapat menyumbang ke arah sebuah Malaysia baru yang adil dan saksama, yang meletakkan keadilan undang-undang mengatasi kepentingan peribadi," katanya.

Setiausaha agung PKR itu juga menyuarakan harapannya lebih ramai rakyat biasa memilih untuk berbuat sesuatu supaya boleh menukar Datuk Seri Najib Abdul Razak dan melantik seorang perdana menteri baru yang bertanggungjawab kepada rakyat di bawah satu sistem baru.

Malaysia, tegas Rafizi, di persimpangan yang unik dalam sejarah.

"Buat pertama kalinya, kita berada di kedudukan kritikal yang mana sebahagian rakyat kita, tidak kiralah apa latar belakangnya, sudah faham bahawa kita tidak lagi boleh menangguhkan perubahan dan reformasi," tambahnya.

Muhyiddin, dalam respons selepas digantung daripada jawatannya, telah menekankan perlunya perubahan di negara ini.

Kata Muhyiddin, Ia bukan sekadar mendesak perdana menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang telah gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat.

[Baca berita penuh]