Gani Patail tak mahu ulas dakwaan Muhyiddin

       

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak mahu mengulas dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan siasatan dalam kes membabit SRC International.

Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin mendakwa Gani telah menunjukkan bukti kepadanya mengenai wang yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dari syarikat milik negara, SRC International.

"Saya tidak mahu ulas apa-apa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Muhyiddin dalam kenyataannya mendakwa bahawa Gani telah memberitahunya sendiri mengenai perkara itu beserta dengan buktinya sekali yang didakwa sah merupakan suatu perbuatan jenayah.

Terdahulu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat deposit RM42 juta daripada SRC International dan AS$681 juta dari satu akaun luar pesisir ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Peguam Negara yang baru, Tan Sri Mohamed Apandi Ali awal bulan ini berkata tidak ada kes tetapi SPRM merayu keputusan tersebut.

Semalam, Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk menggantung Muhyiddin dari jawatan timbalan presiden.

Ia kerana Muhyiddin dilihat tidak menjalankan tugas sebagai timbalan presiden Umno.

Selain itu Muhyiddin lantang mengkritik kepimpinan Najib berkenaan syarikat pelaburan negara 1MDB dan juga isu derma bernilai RM2.6 bilion

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda