Ambiga: Ia satu keberanian untuk Muhyiddin akui wujud masalah
Bekas Pengerusi Bersama BERSIH Datuk S Ambiga memuji keberanian Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengakui bahawa sistem di mana beliau adalah sebahagian daripadanya, dibelenggu dengan masalah.
Ini selepas Muhyiddin berkata hari ini bahawa desakan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berundur sahaja tidak cukup dan pembaharuan institusi diperlukan, termasuk sekatan ke atas kuasa perdana menteri.
Ambiga mengalu-alukan kenyataan Muhyiddin bahawa apa yang diperlukan bagi membetulkan negara yang tercinta ini adalah perubahan sistemik.
"Sebagai seorang yang merupakan sebahagian daripada sistem itu, ia satu keberanian untuk mengenal pasti masalah sebenar yang melanda negara ini.
"Inilah apa yang dilakukan oleh pemimpin yang bertanggungjawab," katanya kepada Malaysiakini.
Ambiga yang juga pengerusi Hakam menyuarakan keyakinan bahawa ada di kalangan mereka dalam Umno kini mula melihat masalah yang sama yang dibangkitkan oleh masyarakat sivil.
"Kami kini berada di laman yang sama bahawa kita perlu merawat punca dan bukan hanya gejala masalah," katanya.

