Lembaga Tabung Haji (TH) membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berhubung dakwaan agensi itu memberi jaminan korporat kepada sebuah syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Dalam satu kenyataan media, Tabung Haji berkata pihaknya menafikan tuduhan itu dan meminta Rafizi menamakan bank yang memberi pinjaman kepada THHE beserta surat jaminan korporat Tabung Haji seperti didakwa.

"TH amat kesal dengan penyebaran dokumen-dokumen melalui laman sosial secara rambang dan tuduhan tidak berasas serta berunsur fitnah. Dakwaan tersebut memberi impak negatif kepada TH dan akan menjejaskan kepentingan para pendepositnya.

"Oleh yang demikian, TH telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pandan berkaitan dakwaan-dakwaan dan dokumen-dokumen yang telah disebarkan oleh beliau," kata kenyataan dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Awam Dan Komunikasi Korporatnya.

Menurut kenyataan itu, langkah ini diambil bagi menjaga kepentingan para pendeposit dan reputasi Tabung Haji sebagai sebuah Institusi Islam di Malaysia.

Rafizi sebelum ini menegaskan terdapat jaminan korporat yang diberikan oleh Tabung Haji kepada THHE.

Beliau turut melampirkan salinan sepucuk surat didakwa daripada kerajaan kepada pegawai kanan Tabung Haji pada 8 Disember 2015 berkaitan perkara itu.