Polis tidak akan membenarkan satu acara yang akan dianjurkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada bulan depan kerana didakwa cuba menghidupkan semula fahaman komunis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penganjur bagi 'kursus kilat Marxisme' itu akan dipanggil pihak polis.

"(Ini) usaha menghidupkan fahaman Komunis. @PDRMsia tidak akan membenarkan Kursus ini di jalankan. Penganjur akan di panggil," kata Khalid di laman Twitter hari ini.

Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan menafikan dakwaan tersebut.

"Kami tidak mempunyai niat untuk memulihkan komunisme atau pihak komunis," katanya kepada Malaysiakini , sambil menambah bahawa ia adalah satu usaha untuk mengalihkan perhatian daripada isu-isu yang melanda negara seperti ekonomi yang merudum.

Arutchelvan berkata Marxsisme bukan komunisme dan kursus ini sebenarnya menyentuh mengenai kegagalan komunisme di bahagian-bahagian lain di dunia.

Arutchelvan juga mengingatkan Khalid bahawa kerajaan cuba menuduh PSM kerana cuba menghidupkan semula komunisme sebelum ini.

"Tetapi kami menyaman mereka (kerajaan) dan memenangi penyelesaian di luar mahkamah, dan mereka terpaksa membayar kami RM200,000," katanya.

Beliau merujuk kepada kes EO6, di mana enam ahli PSM termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar ditangkap pada tahun 2011.

Mereka ditahan selama 28 hari tanpa sebab-sebab tertentu semasa tindakan keras polis ke atas kumpulan masyarakat sivil dan parti-parti pembangkang menjelang perhimpunan Bersih 2.0.