'Pendirian Dr Mahathir, Muhyiddin mirip Harapan'
Kenyataan dikeluarkan dua bekas pemimpin kanan negara - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin - dilihat mirip kepada "dasar yang diperjuangkan Pakatan Harapan".
Dalam kenyataan bersama tiga pemimpin parti gabungan Harapan hari ini mereka berpendapat Dr Mahathir dan Muhyiddin menampakkan kecenderungan untuk menerima hakikat bahawa pemusatan kuasa di tangan perdana menteri adalah berbahaya.
"Pendirian itu secara umumnya mirip kepada dasar yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan selama ini yang menuntut reformasi institusi yang menyeluruh," kata kenyataan ditandatangani Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.
Kecewa dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri Dr Mahathir semalam mengumumkan beliau keluar daripada Umno sebagai tanda protes.
Turut bertindak begitu ialah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Pengumuman selepas 7 Mac
Muhyiddin pula kini digantung daripada jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno selepas majlis tertinggi parti itu membuat keputusan begitu pada 26 Februari lalu.
Dr Mahathir dan Muhyiddin adalah antara pengkritik paling lantang Najib ketika ini.
Harapan, kata kenyataan berkenaan, menghormati suara rakyat yang mahukan semua pihak mengetepikan perbezaan politik demi "menyelamatkan negara".
Langkah itu kata mereka mestilah melibatkan reformasi institusi yang menyeluruh, termasuklah pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa "menjadi mangsa salah guna kuasa" dan bukannya sekadar menukar perdana menteri dan mengekalkan sistem sedia ada.
Justeru Harapan akan menggerakkan secara bersepadu semua golongan dan kumpulan rakyat bagi mencapai matlamat berkenaan.
"Untuk tujuan itu, Pakatan Harapan akan memanggil sidang rundingan dengan semua pihak yang mahu turut serta dalam usaha menyelamatkan negara ini.
"Butir-butir sidang rundingan ini akan diumumkan selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 7 Mac di Bangunan Parlimen," kata kenyataan itu.

