'Pemecatan, keluar parti, celaan tak selesaikan masalah Umno'
Masalah Umno tidak akan diselesaikan jika suara-suara yang tidak sealiran atau berbeza pendapat keluar mahupun digantung daripada parti, kata bekas Ketua Wanita Umno,Tan Sri Rafidah Aziz.
Sebaliknya kata beliau, ini hanya memberikan imej buruk kepada kepimpinan Umno.
“Apa yang berlaku sekarang memberi imej buruk kepada cara pentadbiran dalam Umno...
“Dan sudah lari jauh dari cogankata perjuangan Umno, iaitu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.
“Masaalah yang dihadapi sekarang tidak mungkin selesai hanya dengan pemecatan, keluar parti, mencela antara satu sama lain (yang) menunjukkan sifat-sifat yang tidak mencerminkan budaya Umno,” kata Rafidah dalam Facebook malam semalam.
Sebaliknya, beliau berkata, parti itu perlu mencari jalan perdamaian, penyatuan, perbincangan dengan ikhlas dan fikiran terbuka.
Rafidah berkata bahawa Umno tidak pernah meminta ahlinya berkhidmat untuk kepentingan sesiapa juga tetapi hanya untuk kepentingan parti.
Bagaimanapun Rafidah tidak menyatakan siapa sebenarnya yang dia maksudkannya itu.
Tulisan Rafidah itu dimuat-naikkan selang beberapa jam selepas bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamed mengisytiharkan dirinya keluar parti kerana membantah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Mahathir berkata, Umno tidak lagi menjadi parti yang berkhidmat untuk negara, tetapi sebaliknya hanya bertujuan untuk berkhidmat dan melindungi Najib.

