Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Keadaan Umno semakin gawat. Umno kini sebuah parti politik yang sakit tenat yang diurus tadbir oleh pemimpin-pemimpin sakit kurap korup.

Setelah berusaha sedaya upaya untuk memulihkan Umno, akhirnya Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil keputusan meninggalkan Umno.

Ini kerana beliau mendapati bahawa Umno dibarisi pemimpin yang mempunyai jiwa yang sakit.

Ramai di kalangan ahli dan masyarakat yang bertanya kepada Gerakan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) mengapa tiada suara dari kalangan pemimpin yang mahu bersuara atas salah laku presiden yang semakin lama semakin membukit.

Mengapa?

Kita tidak perlu mempunyai otak Albert Einstein untuk mendapatkan jawapannya.

Mana mungkin ada di kalangan Majlis Tertinggi (MT) yang berani bersuara menentang presiden kerana semua yang ada dianggap sebagai 'rakan seperdosaan' antara satu sama lain.

Jika kita amati barisan kepimpinan termasuk MT yang sewenang wenangnya menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden, kita pasti akan mendapat jawapannya.

Mereka semua mempunyai rahsia hitam yang hendak dirahsiakan sesama mereka sendiri.

Mereka tahu bahawa rahsia ini akan digunakan ke atas mereka jika mereka berpaling tadah.

Dari sudut sejarah pemimpin Melayu sering dikaitkan dengan masalah politik wang, rasuah, seks haram dan salah guna kuasa.

Apakah pemimpin Umno yang ada pada hari ini masih dibelenggu oleh masalah ini?

Apakah mereka takut rahsia ini akan terbongkar dan mereka akan kehilangan kuasa?

Apakah akan terjadi dengan keputusan Mahathir meninggalkan Umno?

Sudah pasti ahli dan masyarakat umum akan rasa sedih dan kecewa.

Namun 'rakan seperdosaan' dalam barisan kepimpinan Umno tidak langsung terkesan dengan tindakan Mahathir itu.

Malahan mereka lebih selesa selagi dosa mereka tidak diketahui umum atau tindakan diambil terhadap mereka.

Siapa yang meninggalkan isteri untuk bersama gadis yang selalu menemani ketika kesunyian?

Berapa jumlah yang ada dalam akaun?

Siapa yang membeli empat buah rumah sekali gus dalam perumahan yang sama ketika rakyat miskin hanya mampu melihat semua rumah tidak mampu dimiliki?

Siapa yang dapat kontrak menyalakan PWTC setiap malam hari?

Siapa yang anak-anak remaja mereka hidup dalam serba kemewahan dan berfoya-foya?

Siapa yang sentiasa meminta komisen setiap kali ada yang memohon sesuatu?

Siapa yang membeli hartanah di Australia yang melebihi harga pasaran semasa?

Siapa yang menguruskan pembelian hotel di London dan apa habuannya?

Siapa yang dapat apa dengan pembelian hotel di PD?

Siapa yang menguruskan syarikat berkaitan kerajaan seperti syarikat miliknya?

Siapa yang mempunyai hubungan baik dengan lembu yang menelan belanja ratusan juta?

Siapa yang kontraknya akan tamat dan mengharapkan ia disambung?

Siapa yang mempunyai anak yang mempunyai salah laku jenayah?

Siapa yang pasangannya mempunyai kepentingan dalam syarikat itu dan ini?

Siapa yang anaknya atau adik beradiknya mempunyai hubungan dengan tauke itu?

Siapa yang selalu tidak pulang kerana ada 'mesyuarat' di tempat rahsia dengan alasan ada urusan yang tak dapat dielakkan?

Siapa yang kalah pilihan raya dan diberi nyawa semula untuk menjadi samseng kampung yang dibayar oleh Umno?

Apa reaksi GKCM ekoran keluarnya Mahathir dari Umno?

Kami akan melihat perkembangan terkini dalam negara.

Buat masa ini kami akan terus menjadi lidah kebenaran yang berani bersuara dalam Umno yang kini dipelopori oleh majlis 'rakan seperdosaan'.

Kami akan menyokong tindakan dan langkah yang diambil oleh Mahathir walaupun kami masih berada di dalam.

Tidak tahu berapa lama kami akan berada dalam Umno.

Hanya masa yang akan menentukan.

#beranikeranabenar


KAMARULAZMAN HABIBUR RAHMAN presiden Gerakan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM).

Lihat Komen
ADS