Tindakan kerajaan menghapuskan subsidi tepung gandum seberat 25 kilogram semalam sudah dijangka kerana kerajaan mempercayai modul ekonomi kapitalis, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Setiausaha Agung PSM A Sivarajan mereka sudah menjangkakan penarikan balik subsidi berkenaan apabila kerajaan membuat penyelarasan pada Bajet 2016 lalu.

"Ini merupakan senario model kapitalis apabila kerajaan melepaskan tanggungjawab dan membiarkan rakyat membayar semua (kos)," katanya di sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan para penggemar roti canai dan makanan berunsurkan gandum mungkin berdepan kenaikan harga ekoran langkah kerajaan menghapuskan subsidi seguni tepung gandum seberat 25 kilogram.

Perkara itu dimaklumkan para pengilang tepung selepas mereka menghadiri mesyuarat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) minggu lepas.

Mengulas lanjut, Sivarajan berkata langkah tersebut dibuat sebagai satu lagi tindakan kerajaan menjaga kepentingan korporat selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Malah, Sivarajan menjangkakan lebih banyak lagi subsidi diberi kerajaan akan dihapuskan selepas ini.

Gagal kawal harga

Sementara itu, mengulas jaminan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia bahawa tidak akan ada kenaikan harga pada makanan berasaskan tepung gandum, Sivarajan berkata PSM meragui kebenarannya.

"Saya tak fikir begitu sebab harga barang kawalan pun sudah berlaku kenaikan.

"Semua (barang) naik dan sekarang tepung gandum iaitu bahan asas (membuat roti sudah naik), tentu (harga) roti canai akan terjejas. Begitu juga dengan roti putih," katanya.

Tegas Sivarajan ini kerajaan gagal mengawal kenaikan setiap harga barang.

"Jadi, apa yang kita lihat kerajaan gagal mengawal harga barangan dan apa yang mampu dilakukan hanyalah untuk menjadikan harga barangan stabil.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) semalam berjanji tidak akan menaikan harga roti canai dan makanan berunsurkan gandum sekiranya kerajaan menarik balik subsidi gandum 25 kilogram.

Presiden Presma, Noorul Hassan Saul Hameed dilapor berkata, pengusaha restoran muslim akan menyerap kenaikan harga tepung kerana tidak mahu membebankan pengguna yang telahpun terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.