Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak berpuashati dengan penyelarasan gaji minimum sebanyak RM1000 seperti diumumkan baru-baru ini selepas menunggu lebih tiga tahun.

Setiausahanya A Sivarajan berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) gagal memberi penjelasan mengapa gaji minimum tidak ditetapkan sebanyak RM1500 seperti dipinta.

"Kami amat tidak berpuas hati, kita tidak boleh terima (selepas) tiga setengah tahun kerajaan hanya boleh naikkan RM100 sahaja.

"Apabila ditanya kenapa MPGN hanya memberikan kenaikan RM100, mereka hanya memberi alasan tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan kerana terikat dengan Seksyen 54 Akta MPGN 2011 yang menghalang mana-mana ahli MPGN daripada mendedahkan 'kerahsian'.

"Alasan MPGN yang kononnya terikat menjaga rahsia hal ehwal hanya tipu helah untuk menutup kebenaran bahawa peningkatan RM100 tidak boleh dijustifikasi," katanya semasa sidang media di pejabat PSM di Kuala Lumpur, hari ini.

PSM turut mendakwa kerajaan terlalu tunduk dengan pihak majikan untuk tidak menetapkan gaji minimum RM1500 sekaligus menjadikan rakyat mangsa untuk berdepan kos sara hidup yang semakin mengila.

Sehubungan itu, PSM mendesak pihak MPGN menjelaskan rasional keputusan tersebut.

"Sekiranya mereka gagal pihak PSM akan terus mendesak supaya MPGN dan kerajaan menunaikan tuntutan kami untuk membuat peyelarasan gaji minimum RM1500 dan akan mendedahkan kepada rakyat alasan yang tidak masuk akal yang diberikan pihak kerajaan," katanya.

Tubuh Tabung Pemberhentian kerja

Sementara itu dalam sidang media yang sama, PSM turut mendesak kerajaan menubuhkan 'Tabung Pemberhentian Kerja' bagi menangani isu pemecatan kakitangan swasta di negara ini.

Sivarajan berkata demikian mengulas tindakan Petronas memberhentikan lebih 1000 pekerjanya ekoran kejatuhan harga pasaran minyak dunia.

Beliau berkata penubuhan tabung tersebut penting bagi membolehkan pekerja yang dipecat mendapat perlindungan yang secukupnya.

"Setiap kali krisis ekonomi, kaum pekerja yang akan dimangsakan.

"Maka tabung pemberhentian kerja perlu diwujudkan untuk menyediakan pampasan penamatan kerja dan dijadikan sebagai elaun bulanan seseorang itu sementara mendapat pekerjaan baharu,"kata Sivarajan.