Veteran Umno merayu kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya bersara daripada politik dan menumpukan kerja bersama NGO yang dinaunginya.

Setiausaha Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakob berkata, selepas keluar daripada parti Melayu itu, Mahathir kini tidak mempunyai hak untuk mengkritik mana-mana pemimpin Umno serta parti tersebut.

"Dia bukan lagi ahli Umno dan secara perlembagaannya dia tak ada hak untuk bercakap tentang Umno atau menyerang pemimpin Umno.

“Memang bila menjadi rakyat Malaysia kita bebas untuk bersuara tetapi Veteran merayu, oleh kerana sudah buat keputusan untuk keluar (Umno), maka cukuplah apa yang telah berlaku selama ini.

"Dan kita harap dia akan terus bersara dari politik dan tumpu kerja-kerja NGO yang lain," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Selain itu, Mustapha juga berkata, sebagai seorang negarawan, Mahathir perlu dikenang sebagai seorang yang dihormati.

Sehubungan itu, beliau berharap agar bekas perdana menteri selama 22 tahun itu tidak lagi terlibat dengan politik serta menghabiskan masanya bersama keluarga.

"Kalau dia pergi tinggalkan kita, kita mahu dia dikenang sebagai negarawan yang dihormati. Cukuplah apa yang telah berlaku. Umur pun dah agak lanjut.

“Dia perlu masa untuk bersama keluarga dan tumpu pada anak dan cucunya. Itu yang kita harap," katanya lagi.

Isnin lalu Mahathir isytihar keluar Umno buat kali kedua sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali turut melakukan perkara sama.