ULASAN Parti-parti pembangkang tahu bahawa dukungan mereka kepada Dr Mahathir Mohamad bukan bermatlamat menjadikan mantan perdana menteri ke-4 itu menjadi PM ke-7 pula. Lebih-lebih lagi pada usia Dr Mahathir yang sudah begitu lanjut.

Sokongan itu yang jelas tergambar dalam kenyataan media oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 1 Mac lalu yang antara lain menyebutkan untuk “menghormati suara rakyat yang mahukan kepentingan dan perbezaan politik diketepikan demi menyelamatkan negara”.

Kenyataan tersebut sejajar pula dengan seruan terdahulu oleh beberapa pemimpin termasuklah Dr Mahathir sendiri. Matlamatnya juga jelas iaitu untuk melawan seorang PM dari Umno-BN, Najib Razak. Satu gabungan besar, padu dan semula jadi harus segera terbentuk.

Kenyataan-kenyataan yang sahut-menyahut dalam tempoh kurang dua minggu ini segera mengingatkan kita kepada kata keramat Datuk Onn Jaafar lebih 70 tahun lalu, "bersatulah sepertimana kita tidak pernah bersatu".

Datuk Onn membuat seruan itu adalah tidak lain demi menyedarkan orang-orang Tanah Melayu agar bersatu menentang satu musuh yang sangat kuat, iaitu penjajah Inggeris. Tanpa kesatuan, Malayan Union akan berjaya dilaksanakan pihak Inggeris. Kesannya, Melayu akan hancur.

Meskipun Datuk Onn sendiri tidak menjadi PM pertama persekutuan yang merdeka, tapi usahanya memerdekakan Tanah Melayu berjaya. Maka, dua perkara yang dapat kita pelajari.

Pertama, pemula perjuangan tidak semestinya menjadi PM atau menjawat kedudukan tertinggi dalam pentadbiran baru. Kedua, sekuat mana pun sesuatu penjajah, rejim itu boleh dikalahkan oleh kesedaran dan kesatuan rakyat yang utuh dan padu. Sudah tentu azimat perpaduan sedemikian bukan hanya di dalam pengalaman kemerdekaan Malaysia, tetapi banyak bangsa terjajah lainnya seperti Indonesia dan India.

Umno tak duduk diam

Selepas merdeka, politik Malaysia telah beberapa kali melalui ujian seumpama. Misalnya krisis Umno 1987 yang kemudiannya memunculkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Sebelum itu tertubuhnya parti serpihan Umno, Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang akhirnya gulung tikar dan tak bertahan waima untuk dua kali PRU. PAS yang lebih lama dan mempunyai akar struktur tradisi, tetap bertahan. Ringkasnya, kegagalan pakatan pembangkang pasca krisis Umno 1987 juga berpunca apabila DAP menarik diri daripada pakatan itu.

Begitulah juga pakatan Barisan Alternatif (BA) yang menjadi gabungan oposisi pertama selepas ledakan Reformasi 1998. Fakta sejarah menunjukkan kegagalan BA disebabkan DAP sekali lagi memilih keluar meninggalkan dua rakan lain dalam BA, PKR dan PAS. Alasan DAP meninggalkan BA sekali lagi kerana parti itu tidak bersetuju dengan PAS yang mahu melaksanakan hudud. PAS tidak meninggalkan BA, dan hudud telah tidak dijadikan objektif utama kepada PAS menjelang PRU 2008.

Dengan gabungan oposisi yang kuat, atau yang paling kuat pernah disaksikan, maka Pakatan Rakyat telah mencapai kemenangan besar pada PRU ke-12. Menawan empat negeri baru, iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Kelantan dengan mudah dapat dikekalkan.

Umno tak dapat duduk diam. Walaupun PM Abdullah Badawi tidak mempunyai isu atau skandal besar, beliau diminta berundur oleh partinya sendiri. Najib pun naik jawatan sebagai PM yang baru sehingga hari ini.

Hari ini keadaan sama sekali berbeza. Berbeza dengan gelombang Reformasi 1998. Berbeza dengan senario PRU 2008 yang menyebabkan Abdullah berundur. Meskipun Anwar tidak berpeluang menjadi pemain utama kerana dia kini didekam penjara, tiada siapa sangka Dr Mahathir kembali memainkan peranan sebagai tokoh nombor terkehadapan menentang PM Najib.

Kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang menyambut baik saranan Dr Mahathir sepertimana yang sama catat di awal tulisan ini sesungguhnya bakal membuka gelanggang dan aturan main yang berbeza sama sekali.

Semua parti oposisi, termasuklah gabungan Pakatan Harapan sedang diperhati rakyat dengan ujian apakah mereka benar-benar serius mengotakan kata berjuang untuk menyelamatkan negara ini.

Sekiranya mereka tidak menentang PM Najib secara konsisten, hanya kerana kemarahan atau dendam kepada Dr Mahathir, parti-parti oposisi khususnya akan hanya dilihat begitu keanak-anakan. Lebih mementingkan besar ego sendiri berbanding masa depan dan nasib rakyat.

Isyarat maaf memaafi

Memang wujud kesedaran dan kemahuan menukar sistem yang rosak dan bukan hanya menukar seorang PM kepada individu yang lain. Sepertimana perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu, ia tetap bertingkat-tingkat.

Sebelum sampai ke peringkat mampu menukar sistem sebagai matlamat dan retorika agung, PM Najib perlu diturunkan dahulu. Keutamaan harus jelas. Adalah tidak munasabah untuk mengubah sistem tanpa menurunkan PM Najib. Dan adalah tidak munasabah juga untuk mengelincirkan PM Najib tanpa menewaskan BN.

Saya duga, seorang Dr Mahathir sangat sedar logik ini. Malahan dia juga secara psikologi nampak cukup bersedia menanggung risiko dihumban ke penjara. Begitulah Dr Mahathir dipetik berkata, dia bersedia dipenjara sehingga berkongsi sel dengan Anwar. Kata-kata sedemikian adalah isyarat maaf memaafi yang dihulurkan oleh Dr Mahathir.

Soal salah dan benar, dosa dan pahala, syurga dan neraka adalah soal tuhan. Tiada manusia yang bisa menentukannya. Dalam politik, apa yang mustahak adalah menentang musuh yang sama. Daripada sudut kenegaraan, menyelamatkan negara ini adalah lebih penting daripada membicarakan apa salah-benar yang telah dilakukan Dr Mahathir sebelum ini? Membicarakan semua itu tidak akan menjadikan seorang pemimpin tertinggi negara yang korup hari ini menjadi suci.

Takkan ada manusia yang mampu menarik masa lalu. Apa yang boleh kita peroleh di masa lalu tak lebih sebuah iktibar agar bangsa ini mengenal yang hitam sebagai hitam, yang putih sebagai putih.

Seruan “bersatulah kita sepertimana belum pernah kita bersatu” sepertimana yang menjadi seruan keramat kepada bangsa kita lebih 70 tahun lalu, kini semakin jelas berkumandang.

Hanya dengan gabungan dan kesatuan baru kali ini, rakyat akan dapat dimerdekakan demi setiap anak watan kembali mengecap udara segar demokrasi, kemakmuran dan keadilan.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalantelawi.