Datuk Seri Azman Ujang dilantik sebagai pengerusi Bernama, agensi berita nasional yang mana beliau pernah menjadi pengurus besar dan ketua pengarang.

Pelantikan wartawan kelahiran Sarawak yang berkuat kuasa 1 Februari itu adalah bagi menggantikan Datuk Abdul Rahman Sulaiman yang telah berkhidmat sebagai pengerusi ke-10 Bernama selama enam tahun.

Azman (gambar) merupakan orang yang pertama menyandang tiga jawatan tertinggi iaitu sebagai Pengerusi, Pengurus Besar dan Ketua Pengarang bagi agensi yang ditubuhkan 48 tahun lalu.

Pelantikan Azman mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyerahkan surat pelantikan itu kepada Azman di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh.

Azman menyandang pelbagai jawatan di Bernama dalam kariernya yang menjangkau 37 tahun sebelum bersara sebagai pengurus besar pada 2008. Beliau dilantik memegang jawatan itu pada Mac 2007.

Beliau memulakan kariernya dengan Bernama sebagai seorang pemberita kadet di Biro Bernama Sarawak pada 1971 dan dinaikkan pangkat untuk mengetuai Biro Bernama Sabah pada 1982.

Tahun berikutnya, beliau dilantik sebagai pengarang berita Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama.

Azman dinaikkan pangkat ke pelbagai jawatan dalam agensi berita itu, termasuk penolong pengarang Meja Berita, Meja Rencana dan pemangku editor Meja Rencana dan Meja Berita Antarabangsa sebelum menjadi ketua pengarang pada 2004.

Azman dilantik sebagai penasihat editorial Bernama hingga September 2009. Beliau juga merupakan penasihat BernamaTV mulai Julai 2008 hingga April 2010.

- Bernama