PSM bingung dengan tweet terbaru Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa tindakan akan diambil terhadap parti itu sebagai penganjur kursus Marxisme yang dijadualkan diadakan pada bulan ini - dan juga terhadap pesertanya.

"Pertamanya, IGP tidak boleh mengharamkan sesuatu acara menggunakan tweet. Beliau mesti mendedahkan di bawah undang-undang yang mana beliau mengharamkan program kami dan menyatakan dengan jelas apakah tindakan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh PSM," kata ahli jawatankuasa pusat PSM, S Arutchelvan yang juga penyelaras kursus tersebut.

Arutchelvan juga berkata IGP tidak boleh mengharamkan acara sebelum menyiapkan siasatan.

Beliau menjelaskan bahawa Gerakbudaya, pemilik premis tempat kursus itu akan diadakan, telah dikunjungi oleh pihak polis yang meminta pegawainya pergi balai polis hari ini untuk merekodkan kenyataan.

Seseorang pegawai dari ibu pejabat polis Petaling Jaya, katanya, juga memanggilnya, untuk dirakam kenyataannya dan begitu juga pensyarah yang lain.

Program lapan jam tu, bertajuk 'Kursus marxisme Kilat', dijadualkan diadakan di Dewan Budaya Gerakbudaya di Petaling Jaya pada 20 Mac dan dipromosi di laman web PSM.

"Saya memberitahu beliau bahawa saya akan ke luar negara dan akan segera mengatur untuk semua kenyataan kami direkodkan selepas 11 Mac, apabila saya kembali. Beliau bersetuju.

"Jadi, tanpa mengetahui kandungan kursus kami, bagaimana IGP mengeluarkan amaran tersebut," kata Arutchelvan dalam satu kenyataan.

Arutchelvan memberi alasan bahawa buku mengenai Karl Marx dan Marxisme boleh didapati di perpustakaan yang dikendalikan oleh kerajaan, dan juga di universiti.

Kursus dan topik mengenai Marxisme diajar di kebanyakan universiti di dunia, termasuk di universiti tempatan. Begitu juga, katanya, parti pemerintah Umno mempunyai hubungan yang rapat dengan parti-parti Komunis di Vietnam, Cuba dan China.

[Baca berita penuh]