Muhyiddin heret kes penggantungannya ke ROS
Tan Sri Muhyiddin Yassin Yassin akan merujuk keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung tugasnya sebagai timbalan presiden parti itu.
Beliau berkata akan menghantar surat kepada pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi menentukan sama ada penggantungannya dibuat berdasarkan peraturan parti.
“Saya akan hantar surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan di bawah Seksyen 16 Akta Pertubuhan supaya pendaftar pertubuhan menjelaskan sama ada proses pergantungan saya sah di sisi perlembangaan atau mengikut peraturan,” katanya.
Muhyiddin digantung tugas sebelum ini setelah tidak sehaluan dengan presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu berkaitan syarikat negara sarat hutang 1MDB.
Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berkongsi pendirian sama dengan Muhyiddin, sebelum ini keluar Umno sebagai kemuncak tanda protesnya terhadap kepimpinan Najib.
Tiada peluang bela diri
Selain itu, anggota parlimen Pagoh itu turut mempertikaikan keputusan penggantungannya yang dibuat dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Umno minggu lalu.
Katanya, beliau sehingga hari ini tidak diberi peluang untuk membela diri mengikut prosedur perlembagaan parti.
Sehubungan itu, beliau akan membawa perkara tersebut kepaada ROS bagi mempersoalkan tentang keputusan Majlis Tertinggi Umno yang menggantungnya.
"Saya tidak diberi peluang yang adil untuk membela diri saya yang ikut prosedur dan tatacara disiplin parti kita. Saya anggap Majlis Tertinggi buat keputusan gopoh untuk penggantungan saya.
"Saya akan bertanya pada ROS apakah keputusan oleh Majlis Tertinggi itu mengikut peraturan perlembagaan atau tidak dan sama ada kedudukan saya masih sah atau tidak," katanya lagi.
Muhyiddin digantung jawatan sebagai timbalan presiden Umno dan berkuat kuasa serta-merta Jumaat lalu.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata penggantungan Muhyiddin itu berkuat kuasa sehingga pemilihan parti akan datang.
Katanya, keputusan dibuat secara sepakat pada mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Bagaimanapun katanya, jawatan lain Muhyiddin dalam parti masih kekal.
Tetapi Tengku Adnan tidak menolak kemungkinan Muhyiddin akan dipecat sekiranya beliau masih melakukan perkara yang boleh merosakkan parti.

