Amerika bimbang akses terhad kepada laporan di Malaysia
Amerika Syarikat melahirkan kebimbangan dengan tindakan kerajaan Malaysia yang menyekat akses berhubung laporan tempatan dan antarabangsa mengenai hal ehwal semasa Malaysia.
"Keputusan kerajaan pada 25 Februari lalu untuk menyekat portal berita The Malaysian Insider adalah yang terbaru dalam siri usaha menekan organisasi media," kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Menurut jurucakapnya, John Kirby, kuasa besar itu juga bimbang bahawa kerajaan Malaysia tidak bertindak secara telus dan tidak menyediakan proses dan platform sewajarnya kepada organisasi media yang menjadi sasaran dan sebelum menyekat akses.
Amerika juga melahirkan kebimbangan bahawa kerajaan memulakan siasatan jenayah terhadap wartawan, editor, dan penerbit dari organisasi media tempatan dan antarabangsa.
"Turut membimbangkan adalah ramai pengguna media sosial di Malaysia menghadapi tuduhan kerana posting yang kritikal terhadap kerajaan dan pemimpin negara.
"Pegawai kerajaan Malaysia juga mendedahkan bahawa pindaan akan dibuat ke atas Akta Komunikasi dan Multimedia yang seterusnya bakal menyekat ruang dalam talian."
Amerika Syarikat dan Malaysia, kata kenyataan itu telah membina perkongsian komprehensif yang erat yang menurut Washington, ia berharap kerjasama dalam pelbagai cabaran bersama akan diperluaskan.
"Dalam konteks ini, kami menggesa kerajaan Malaysia untuk memastikan bahawa semua undang-undang, yang sedia ada dan akan datang, sepenuhnya menghormati kebebasan bersuara, termasuk aliran bebas idea di internet."
Lebih seminggu telah berlalu sejak TMI disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Portal berita itu masih tidak dapat dilayari melalui penyedia telekomunikasi utama.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak mengesahkan bahawa antara sebab TMI disekat adalah berhubung artikel mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

