Setelah amaran tsunami ditarik balik, gempa bumi sekali lagi melanda kepulauan Mentawai di Sumatera Barat pagi ini.

Bagaimanapun, kali ini bacaannya pada skala richter mencatat angka lebih rendah pada 5.3 mata, lapor agensi berita rasmi Indonesia Antara .

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia berkata gempa bumi ini berpusat pada 5.13 Lintang Selatan (LS) dan 93,65 Bujur Timur (BT).

Ia berada pada 716km arah barat daya Kepulauan Mentawai, pada kedalaman 10km di bawah tanah.

Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia semalam menarik balik amaran tsunami akibat gempa 7.8 skala richter, malam tadi.

Indonesia mengeluarkan amaran tsunami malam tadi selepas gempa besar melanda luar pantai barat pulau Sumatera, kawasan teruk dilanda tsunami Lautan Hindi pada 2004.

Amaran itu dikeluarkan untuk kawasan Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Acheh.

Pusat gempa semalam pada 808 kilometer di barat daya Padang, kata Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS) dengan kedalaman 10 kilometer.