Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendebat terbaik 'dikaunseling' polis cawangan khas

Pendebat terbaik Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau didatang pegawai polis cawangan khas berhubung kritikan terhadap Perdana Menteri Najib Abdul Razak oleh kumpulan belia Challenger.

Syed Saddiq yang juga jurucakap Challenger berkata dua pegawai cawangan khas berjumpa beliau petang ini.

"Ia bukan satu sesi soal siasat. Lebih daripada sesi 'kaunseling', menurut mereka.

"Tetapi saya ingin menegaskan bahawa ia sangat profesional. Ia hanya menyedihkan bila tahu yang saya dilihat sebagai satu ancaman kepada negara saya yang tercinta," katanya kepada Malaysiakini.

Selain lawatan oleh pegawai cawangan khas, Syed Saddiq berkata beliau juga dipanggil tiga kali oleh Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung kenyataan Challenger.

Challenger semalam menolak kepimpinan Najib dengan mengatakan perdana menteri akan membawa kehancuran kepada negara. Kenyataan itu dikecam tiga kumpulan belia yang lain hari ini, termasuk oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Presiden MPPK Farhan Khairuddin berkata, kenyataan Challenger adalah satu serangan terhadap demokrasi, dan menggesa belia untuk menegakkan institusi negara.

Sehubungan itu, Syed Saddiq di Facebook mempersoalkan mengapa MPPK tidak bersuara apabila demokrasi didakwa diketepikan oleh kerajaan, seperti apabila Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tiba-tiba disingkirkan sebagai peguam negara Julai lalu.

"Demokrasi bukan milik Najib, demokrasi adalah rakyat," katanya.

Lihat Komen
ADS