Keputusan bekas Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal dalam parti menjadi bukti UMNO adalah wadah terbaik untuk perjuangan membela agama, bangsa dan negara, kata Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata keputusan MT UMNO untuk menggantung Muhyiddin dibuat tanpa mengira kedudukan dan jawatan beliau dalam parti.

"Sesiapa sahaja yang menjadi ahli perlu akur dengan keputusan parti. Setiap ahli UMNO juga perlu setia kepada kepimpinan di samping berkhidmat kepada bangsa, agama dan tanah air," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata Muhyiddin mempunyai hak seperti termaktub dalam Perlembagaan UMNO dan beliau pasti akan menggunakan hak itu untuk berbuat apa saja.

"Bagaimanapun beliau perlu bertanggungjawab ke atas setiap tindakannya termasuk mematuhi tataetika serta disiplin dan tidak menjadi gunting dalam lipatan," katanya.

Hari ini, Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh dalam satu sidang media khas bersama-sama Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan untuk terus kekal dalam parti kerana mahu memperbaiki parti dari dalam.

Di Johor Bharu, anggota MT UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpandapat langkah Muhyiddin yang mahu terus kekal dalam parti dilihat satu tindakan yang wajar.

Beliau berkata tindakan sedemikian membuktikan Muhyiddin masih berkeyakinan terhadap UMNO tanpa ada perasaan merajuk atau memilih untuk berada di luar parti dengan menyokong pihak pembangkang.

"Kedudukan atau jawatan dalam parti bukanlah segala-galanya, jadi saya mengucapkan tahniah kepada beliau dan mereka yang lain kerana telah bersikap wajar.

"Saya pasti suatu masa nanti, kesemuanya bertaut kembali dalam memastikan UMNO terus menjadi tonggak pemerintahan negara, " katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Ladang Nanas Kulim, Ulu Tiram.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, apabila hanya menjadi ketua bahagian, Muhyiddin tidak boleh beranggapan bahawa beliau disekat daripada memberikan sumbangan kerana setiap anggota parti memainkan peranan tersendiri.

-Bernama