ULASAN Selepas pemberhentian lebih kurang 30,000 pekerja tahun lepas, dengan bilangan signifikan 6,000 pekerja syarikat penerbangan MAS, sekali lagi kita dikejutkan dengan makluman Petronas akan memberhentikan lebih 1,000 pekerja.

Begitu mudah sekali, hampir 1,000 pekerja Petronas akan terkesan akibat penstrukturan yang diumumkan syarikat gergasi minyak dan gas itu atas alasan harga minyak sedunia yang semakin merudum.

Pekerja tersebut akan dilepaskan dalam masa enam bulan terdekat.

Berikutan dengan itu juga, syarikat Samsung Electronics Display (M) Sdn Bhd (SDMA) juga akan membuang lebih 600 pekerjanya akibat senario ekonomi yang muram.

Apakah yang akan terjadi dengan semua pekerja ini yang sewenang-wenangnya dibuang kerja oleh majikan sebaik sahaja mereka ingin mengurangkan kos?

Pengalaman pekerja MAS yang dibuang kerja membangkitkan pelbagai isu kritikal yang akan dialami pekerja apabila kehilangan mata pencarian.

Pekerja mahir yang dihentikan daripada MAS gagal memperoleh kerja yang berpadanan selepas enam bulan berusaha dan terpaksa berniaga di pasar malam dan gerai untuk menampung keluarga.

Begitu juga, dengan sebahagian besar pekerja yang berkemahiran ini.

Mereka akan menghadapi masalah mendapatkan kerja yang setimpal dengan kebolehan mereka apabila keseluruhan industri petroleum dan gas dalam proses mengurangkan kos dan menghentikan pekerja memandangkan harga minyak dunia yang semakin menjunam.

Laporan The Wall Street Journal pada April 2015 menyebut, dengan penurunan harga minyak mentah dunia, kebanyakan syarikat dalam industri eksplorasi dan penghasilan minyak mengumumkan perancangan memberhentikan 100,000 pekerja di seluruh dunia.

Ia akan dilaksanakan terutamanya di kalangan pekerja pelantar minyak dan syarikat penggerudian minyak.

Kelembapan sektor ini juga akan menyebabkan banyak lagi industri sampingan hiliran 'downstream’ juga memberhentikan pekerja untuk menampung peningkatan kos.

Tuntutan buat kementerian

Justeru itulah Parti Sosialis Malaysia (PSM) menuntut Kementerian Sumber Manusia menubuhkan tabung khas ‘Tabung Pemberhentian Pekerja' demi menjaga kebajikan pekerja.

Antara cadangan seperti berikut:

(1) Kerajaan wujudkan sebuah Tabung Pemberhentian Pekerja.

(2) Bayaran ganti rugi kepada pekerja dari tabung mengikut Faedah Renti Kerja, Akta Kerja, 1955.

(3) Bayaran dalam masa 30 hari selepas tarikh pemberhentian kerja.

(4) Tabung ini harus dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)

(5) Tabung ini dimulakan dengan sumbangan kerajaan, diikuti sumbangan bulanan majikan dan pekerja.

(6) Latihan semula kepada pekerja yang dihentikan kerja oleh Pusat Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

(7) Bayaran elaun sara hidup bulanan sebanyak 80 peratus daripada gaji terakhir pekerja setiap bulan selepas tamatnya tempoh gaji yang dapat dibiayai oleh Faedah Renti Kerja, jika pekerja masih belum mendapat kerja baru.

(8) Kerajaan/Bank Negara mengarahkan bank swasta supaya mengarahkan penangguhan bayaran pinjaman rumah pekerja untuk sekurang-kurangnya 6 bulan diikuti dengan penjadualan semula bayaran ansuran pinjamannya.

Keperluan elaun bulanan

Tabung Pemberhentian Kerja ini akan membayar pekerja amaun yang pekerja berhak diterima apabila majikan yang muflis gagal membayar pekerja.

Selain bayaran ganti rugi demi mengelakkan kemiskinan terhadap keluarga itu, elaun bulanan daripada sebuah tabung pemberhentian kerja juga amat perlu.

Elaun bulanan daripada tabung ini akan terus diberikan kepada pekerja dan akan memastikan bahawa pekerja itu dapat menyara kehidupannya seperti biasa sehingga berjaya mencari pekerjaan baru.

Bantuan ini untuk memastikan keluarga pekerja itu tidak terjerumus dalam kancah kemiskinan dan terjerat dengan pinjaman dan masalah ‘along’.

ILO dengan jelas menyatakan bahawa “Pada masa pengangguran meningkat di seluruh dunia, apabila kegawatan ekonomi berlaku, skim perlindungan sebegini terbukti lebih penting untuk membantu individu dan rumah tangga menjamin keperluan asas kehidupan dan pada masa yang sama menstabilkan permintaan purata”.

Maksudnya, selain membantu pekerja terbabit, bantuan daripada tabung ini akan mencetuskan peningkatan ekonomi domestik.

PSM menyeru kerajaan menubuhkan tabung ini dengan kadar yang segera, kerana pemberhentian pekerja akan berterusan oleh majikan yang membuat penstrukturan semula demi melindungi keuntungan mereka.


SIVARAJAN ARUMUGAM adalah setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).