Seorang ahli parlimen DAP menyangkal alasan menteri Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bahawa keluarga diraja Saudi tidak akan memberi layanan VIP ke atas Datuk Seri Najib Razak jika perdana menteri berbohong mengenai ‘derma’ RM2.6 bilion di akaun bank peribadinya.

"Bagaimana ceteknya pemikiran Rahman, (seolah-olah) dia tidak pernah dilayan sebagai tetamu kehormat di luar negara dalam kerjaya politiknya," sindir Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng hari ini.

"(Dia) tidak perlu berasa hairan layanan VIP yang diberikan kepada Najib, (kerana) semua orang kenamaan dan ketua-ketua negara yang melawat Arab Saudi akan menerima layanan yang sama.

"Tiada apa yang istimewa tentang layanan yang diberikan kepada Najib. Jika kita ‘google’ kita akan ketahuinya," katanya.

Lim yang merupakan seorang peguam mengepilkan beberapa gambar Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud menerima pemimpin dari pelbagai negara.

"(Saya pasti) mereka menerima rawatan VIP sesuai dengan status mereka sebagai pemimpin. Bukankah ini protokol? Tiada apa yang istimewa dengan layanan yang diberikan kepada Najib,” katanya.

"Mungkin budaya Arab adalah untuk tidak memalukan Najib mengenai dakwaan wang disalurkan ke dalam akaun bank peribadinya," kata Lim.

Semalam, Abdul Rahman yang juga adalah Pengarah Strategi BN berkata jika dakwaan wang RM2.6 bilion bukannya sumbangan politik dan adalah penipuan, keluarga diraja Arab Saudi sudah semestinya marah dengan Najib.

Namun sebaliknya, kata beliau Najib yang melakukan lawatan kerja selama empat hari ke Jeddah dilayan sebagai tetamu kenamaan Raja Salman.

Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka pulang hari ini.

Sebelum ini, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa seorang putera Arab Saudi menyumbangkan RM2.6 bilion kepada perdana menteri dan Najib kemudiannya telah mengembalikan sebahagian besar wang itu.

[Baca berita penuh]