Majalah global popular mingguan, Economist berpendapat bahawa Malaysia akan dinafikan kedudukan selayaknya di mata dunia, selagi negara ini diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam artikel yang disiarkan semalam, jurnal perniagaan terkemuka itu berkata Umno telah kehabisan idea dan kredibiliti presiden parti berkenaan, seolah-olah tidak lagi mampu meremajakan Umno semula.

"Di bawah Perdana Menteri Najib Razak, negara ini semakin merosot pada tahap kelajuan yang membimbangkan. Politiknya berbau busuk (stinks), ekonominya bermasalah dan terdapat tanda-tanda membimbangkan bahawa kerajaan tidak cuba mengatasi pihak yang cuba memecah-belahkan bangsa dan agama.

"Bagi rakyat Malaysia, keadaan sebenar apa yang berlaku bukan perkara utama. Najib menonjolkan dirinya sebagai pemimpin liberal yang cuba membentuk semula sistem kotor politik wang oleh Umno yang telah berkuasa sejak kemerdekaan.

"Beliau kononnya mahu mendedahkan ekonomi kroni. Dan beliau juga mahu memansuhkan undang-undang zaman penjajah yang menindas, seperti akta hasutan.

"Kredibiliti Najib berkecai apabila beliau terpalit dengan 1MDB dan bertindak balas dengan merancang persaraan seorang ketua polis, menggantikan seorang peguam negara dan menaikkan pangkat anggota PAC sebagai ahli jemaah kabinet," kata The Economist.

Kerajaan mempamerkan undang-undang hasutan dengan semangat baru dan juga menyekat laman web berita dan memburu lawan, seperti Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dan mengharamkan gerakan reformasi pilihan raya BERSIH, katanya.

"Lebih banyak Najib menekan, lebih banyak beliau mengasingkan mereka yang pernah menyokongnya.

"Pelabur asing dan yang lain perlu bimbang. Kerajaan sedang terkial-kial dalam jawapan mereka berhubung kemerosotan yang ketara dalam ekonomi dan kejatuhan mata wang negara," kata laporan itu.

[Baca berita penuh]