Bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berpendapat, hanya dengan pengunduran Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri akan dapat memastikan BN akan kekal memerintah negeri jelapang padi itu.

Beliau berkata, pengunduran Najib yang juga presiden Umno itu dilihat perlu dibuat demi memastikan Kedah terus diperintah parti pemerintah memandangkan imej parti Melayu itu kini tercalar akibat skandal ahli parlimen Pekan tersebut.

"Kalau pimpinan dapat melalui proses transformasi, apa yang diharapkan rakyat dan ahli Umno itu akan selamatkan keadaan. Saya tak kata akan terus kalah, tapi kalau ada perubahan kepimpinan parti, kalau Najib undur sebelum pilihan raya umum ke-14, peluang untuk menang masih ada.

"Tapi kalau beliau masih menerajui parti sampai pilihan raya umum ke-14, maka saya tak yakin kita boleh menang (di Kedah).

"Yang menjejaskan imej parti ialah tak lain dan tak bukan ialah presiden parti sendiri," katanya dalam temubual bersama Malaysiakini di ibu negara.

Selain itu, ditanya peluang dan harapan beliau terhadap Kedah dalam pilihan raya umum akan datang, Mukhriz yang juga adalah ADUN Jerlun berkata beliau berharap agar negeri itu terus diterajui oleh BN.

Bagaimanapun, sekiranya tiada sebarang perubahan terhadap pucuk pimpinan berlaku, dikhuatiri peluang untuk terus kekal tipis memandangkan rakyat kini melihat politik yang melibatkan pemimpin Kedah sebagai satu penindasan, katanya.

"Buat masa ini, saya ingat peluang untuk kekal kerajaan (Kedah) agak tipis. Bukan kerana saya tidak lagi menteri besar atau pengerusi perhubungan tetapi kerana kerakusan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan yang kini dirasai rakyat Kedah serta menganggap satu penindasan.

"Jadi atas sebab itu mereka (rakyat) rasa bahawa Umno dan BN tak layak untuk terima sokongan rakyat.

Mukhriz dipecat sebagai menteri besar Kedah pada 3 Februari lalu dan digantikan dengan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau disingkirkan selepas krisis dua minggu yang bermula apabila Bashah mengumumkan bahawa Umno Kedah tidak lagi menyokong anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Mukhriz mendakwa beliau menjadi mangsa kerana Najib tidak senang dengannya kerana lantang mengkritik 1MDB seperti bapanya, Tun Dr Mahathatir Mohamad.

Selain Mukhriz, turut menerima nasib serupa adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung daripada jawatan timbalan presiden Umno kerana dilihat tidak sehaluan dengan Najib terutama isu melibatkan wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri serta 1MDB.